Sunday, September 25, 2011

Singapura tidak akan mansuh ISA



SINGAPURA 24 Sept. - Singapura menolak gesaan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) supaya memansuhkan akta itu kerana undang-undang itu membenarkan kerajaan memerangi ancaman keselamatan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, bekas tahanan ISA yang menggesa pemansuhan akta berkenaan telah ditahan kerana terlibat dalam aktiviti subversif dan bukan kerana ideologi politik mereka.
Kementerian itu berkata demikian dalam laman webnya, semalam bagi mengulas gesaan 16 bekas tahanan ISA di republik ini supaya memansuhkan akta berkenaan selepas Malaysia mengumumkan akan berbuat demikian.
ISA dikecam oleh pengkritik di Singapura dan Malaysia sebagai alat untuk membendung perbezaan pendapat.
Kementerian berkenaan berkata, undang-undang itu perlu bagi memerangi ancaman keselamatan seperti keganasan.
''Bekas tahanan ISA itu bukan ditahan kerana ideologi politik mereka tetapi kerana mereka terlibat dalam kegiatan subversif yang mengancam keselamatan negara,'' ujar kementerian itu.
Menurut kementerian itu, sembilan daripada mereka terlibat dalam aktiviti komunis untuk menggulingkan kerajaan Singapura dan Malaysia paa 1960-an dan 1970-an.
''Mereka menyusup ke dalam kesatuan pekerja dan pertubuhan pelajar dan menghasut diadakan mogok dan demonstrasi bagi mewujudkan satu revolusi komunisme,'' kata kementerian itu.
Sementara itu, tujuh daripada mereka terlibat dalam rancangan komunis untuk menggulingkan kerajaan Singapura pada 1980-an, tambah kementerian itu. - AFP

No comments:

Post a Comment