Sunday, September 25, 2011

Ketua Polis: BN boleh kalah dek ISA

Tekankan akta terus jadi topik politik hangat, buat pembangkang raih simpati dan sokongan pengundi
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mengingatkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh kalah dalam pilihan raya umum jika tidak menangani isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan baik.

Pendirian itu digariskan dalam satu buku berkaitan 1Malaysia yang diterbitkan sebelum pengumuman pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengenai pemansuhan ISA.Menurut Tan Sri Ismail, isu ISA, yang diperkenal pada 1960, akan terus menjadi topik politik hangat dibincang dan hasilnya pembangkang akan terus menagih simpati serta sokongan pengundi.


Beliau berkata demikian dalam bab bertajuk Keamanan dan Keselamatan Ke Arah Pembentukan Negara Maju dalam buku berjudul 1Malaysia Menjana Negara Sejahtera dan Bahagia Menjelang 2020.Buku itu dikeluarkan sebelum Datuk Seri Najib mengumumkan minggu lalu bahawa pentadbirannya akan memansuhkan ISA dan menggantikannya dengan dua undang-undang baru.


Tan Sri Ismail, yang menggantikan Tan Sri Musa Hassan pada September 2010, berkata walaupun kerajaan berjanji akan melihat semula akta tersebut, khususnya dalam hal penahanan tanpa perbicaraan, banyak pihak meragui langkah itu.Penggubalan dan penguatkuasaan ISA terletak di tangan kerajaan pusat, yang diterajui BN sejak Malaysia merdeka.'


Kerajaan dikatakan akan tetap menggunakan ISA sebagai serampang dua mata. Pada pihak kerajaan, ISA penting untuk mengekalkan keamanan dan mengawal keselamatan negara, tetapi pihak pembangkang terus menangih simpati dan sokongan pengundi,' kata beliau, yang ditukil laman berita The Malaysian Insider.


Oleh itu, 'jika kerajaan tidak dapat mengurus isu ini dengan baik, ia akan membawa kepada kekalahan dalam pilihan raya umum akan datang', tambahnya.Tan Sri Ismail berkata tindakan pantas dan pencegahan yang diambil oleh polis Malaysia dalam menangkap elemen-elemen utama dalam kumpulan-kumpulan militan, seperti Jemaah Islamiyah (JI), Darul Islam, Al-Qaeda dan Kumpulan Abu Sayyaf, sejak 2001 adalah faktor utama Malaysia terus selamat daripada sudut ancaman kumpulan militan di rantau ini.


Beliau juga menarik perhatian bahawa senario politik yang disaksikan semasa pilihan raya umum pada Mac 2008 dijangka berlaturan pada masa-masa akan datang.'Dalam pilihan raya umum ke- 12, negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak jatuh ke tangan parti pembangkang.


 Di peringkat parlimen pula, BN gagal memperoleh dua pertiga majoriti.'Ini mengakibatkan keadaan politik di peringkat negeri tidak menentu dan rapuh. Keadaan ini dijangka berlarutan pada masa-masa akan datang,' kata Tan Sri Ismail dalam rencananya itu.

No comments:

Post a Comment