Friday, November 4, 2011

Mat Salleh Melihat Gelagat Penonton M'sia Dengan Penuh Kehairanan


SAUDARA PENGARANG,
SAYA mengambil masa lebih kurang seminggu untuk menulis perihal perkara ini kerana menghormati mendiang Marco Simoncelli yang meninggal dunia dalam kemalangan ngeri dalam perlumbaan MotoGP Malaysia di Litar Sepang 23 Oktober yang lalu.
Saya adalah sebahagian daripada beribu peminat MotoGP yang berada di tempat duduk utama ketika kejadian itu berlaku.
Kami dapat menyaksikan dengan jelas kemalangan yang berlaku itu menerusi paparan skrin besar yang terletak di atas bangunan paddock bertentangan dengan tempat duduk utama.
Namun begitu apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah gelagat sebahagian besar penonton di tempat duduk utama yang memperlihatkan sisi buruk mereka kepada bukan sahaja para tetamu luar yang turut hadir menyaksikan perlumbaan tersebut tetapi juga kepada anggota-anggota pasukan yang mengambil bahagian dalam perlumbaan itu.
Lebih kurang sejam selepas skrin besar di hadapan tempat duduk utama menyiarkan kenyataan ringkas bahawa perlumbaan dibatalkan, para penonton telah bertindak membaling apa sahaja yang ada di tangan mereka - botol air mineral, payung, air kotak dan juga bungkusan makanan di atas trek sambil melaung-laungkan kata-kata maki ke arah anggota-anggota pasukan yang bertanding.
Gelagat mereka ini telah mencetuskan kehairanan kepada para anggota pasukan yang berada di paddock kerana keputusan untuk menghentikan perlumbaan adalah keputusan pihak penganjur dan pemegang lesen perlumbaan.
Mereka melihat gelagat rakyat Malaysia sambil mengeleng-geleng kepala tanda kecewa seolah-olah rakyat Malaysia tidak memahami mengenai protokol perlumbaan apabila sesuatu kemalangan besar berlaku.
Adalah menjadi amalan bahawa perlumbaan akan dibatalkan jika berlakunya kemalangan besar yang mengancam nyawa pelumba. Kita telah menyaksikan peristiwa ini berulang-ulang kali tetapi malangnya penonton Malaysia memilih untuk memperlihatkan sikap tidak bertamaddun mereka dengan bertindak membaling botol ke atas trek malah menghamburkan kata-kata makian ke arah pelumba dan pasukan mereka.
Mereka tidak bersalah apa-apa di atas keputusan untuk membatalkan perlumbaan.
Ya, memanglah amat malang wang yang dibayar untuk membeli tiket MotoGP ini tidak kelihatan berbaloi jika dibandingkan dengan hanya sempat menyaksikan dua pusingan perlumbaan sahaja.
Tetapi perlumbaan yang mengorbankan pelumba dari Itali itu sememangnya patut dihentikan.
Jika ada sekali pun kelemahan di pihak penganjur yang boleh diambil iktibar agar kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi ialah mereka tidak mengumumkan mengapakah perlumbaan itu terpaksa dibatalkan.
Satu-satunya pengumuman yang dibuat pada hari itu ialah "Perlumbaan Dibatalkan". Itu sahaja. Tiada sebab tiada alasan yang diberi.
Ada yang mengatakan, pengumuman mengenai punca pembatalan perlumbaan memang tidak patut diumumkan selagi pasukan perubatantidak mengesahkan status kecederaan Marco atau keluarganya perlu dimaklumkan terlebih dahulu.
Tetapi orang Malaysia tidak faham akan semua ini. Yang mereka tahu ialah mereka telah membayar wang yang banyak untuk membeli tiket bagi menonton perlumbaan 500cc tetapi kenapa tiba-tiba dibatalkan.
Jadi akhirnya mereka mengamuk dengan melakukan sesuatu yang akhirnya memalukan imej negara dan sukan moto negara.
Saya perhatikan ramai mat salleh yang takut melihat gelagat barbarik penonton Malaysia dengan segera meninggalkan litar Sepang. Saya kurang pasti, apakah insiden yang menakutkan ini akan membawa mereka kembali ke sini tahun hadapan.
MAT LAN MAT DIN

Klang, Selangor
mStar Online : Mat Salleh Melihat Gelagat Penonton M'sia Dengan Penuh Kehairanan:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment