SASHA (kanan) melihat Romy mencuba permainan tradisi Melayu, ‘ting-ting’ yang dipercayai menjadi kegemaran nenek mereka ketika kunjungan mereka ke Terengganu. |
CHUKAI: “Kami teruja dan gembira dapat bertemu keluarga yang pernah bersama nenek dulu. Kami banyak mengetahui kisahnya daripada ibu bapa dan internet,” kata Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah Maarof atau Maria Bertha Hertogh.
Sasha adalah anak kepada pasangan Jan Van Gastel dan Carolien Van Gastel, manakala Romy adalah anak kepada Frans Wolkenfelt dan Carla Wolkenfelt.
Carolien anak perempuan Natrah, manakala Wolken-felt anak sulung Natrah.
Kali pertama bersua, dua gadis itu pada mulanya agak kekok, namun keramahan keluarga Rokayah melayani mereka membuatkan suasana bertukar lebih selesa hinggakan suasana hiba terbit apabila Sasha dan Romy mahu pulang selepas kira-kira empat jam bersama.
Sasha dan Romy turut bertukar cenderamata dengan keluarga pesara guru itu dan dibawa melawat rumah lama Che Aminah di Kampung Gong Pauh, di sini.
Sasha yang saling tidak tumpah iras Natrah agak sukar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, tetapi dibantu Romy yang boleh bertutur sedikit dalam bahasa Inggeris dan mereka tidak putus-putus berbual mengenai kisah silam dengan Rokayah, yang melayan mereka sambil menunjukkan gambar dan laporan meluas media mengenai Natrah di negara ini.
“Di sana (Belanda) orang tidak ambil kisah kami cucu Natrah, tetapi apabila di sini, kami agak terkejut apabila menjadi tumpuan dan ditemubual seperti ini. Kami diberitahu mengenai perancangan membawa kami ke sini seminggu lalu dan kami sangat teruja.
“Kami sudah mengambil banyak gambar dengan keluarga angkat nenek dan keindahan Malaysia. Kami tidak sabar untuk berkongsi dengan keluarga di Belanda,” katanya sambil mengucap terima kasih kepada Tourism Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Mohd Nasir Kushairi, berkata pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha menggalakkan pelajar serta lepasan kolej luar negara melawat Malaysia, khususnya Terengganu.
Natrah adalah anak kepada pasangan Adeline Hunter dan Andrianus Petrus Hertogh, berketurunan Belanda. Beliau diserahkan bapanya kepada seorang wanita bernama Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia selepas menjadi tawanan tentera Jepun pada 1942.
Sejak itu, Natrah yang ketika itu dikatakan berusia lima tahun dibesarkan oleh Che Aminah dan menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan mengikut adat Melayu dan Islam.
Namun, selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah sehingga berjaya menemuinya, namun berlaku perebutan antara Hertogh dan Che Aminah terhadap penjagaan Natrah sehingga terpaksa membuat rayuan di mahkamah dan Che Aminah berjaya mendapat Natrah.
Natrah kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun dan pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan Natrah dikembalikan semula kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Selepas itu berlakulah rusuhan Natrah di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus lagi cedera.
No comments:
Post a Comment