bapa-abai
KEPALA BATAS - Anak seorang pengusaha restoran terkenal di daerah ini, mendakwa kebajikan mereka empat beradik diabaikan bapanya sejak kematian ibu kandung, 10 tahun lalu.

Lebih malang, selepas bapa berkahwin lain, kebajikan Ali, 20, Rahman, 18, dan Abu Bakar, 12, (bukan nama sebenar) langsung tidak dipedulikan menyebabkan ketiga-tiganya terpaksa membawa diri dan menumpang di rumah saudara terdekat.

Manakala adik bongsu perempuan, Maisarah, 11, (bukan nama sebenar) diserahkan kepada bapa saudara untuk dijaga kerana bimbang keselamatan dirinya bakal menerima nasib serupa.

Bagi meneruskan hidup, Ali dan Rahman terpaksa merantau ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pelayan kedai makan bagi menyara persekolahan Abu Bakar.

Ali, anak sulung daripada empat beradik semasa ditemui berkata, sepatutnya sebagai anak tauke kehidupan mereka tidak sebegini teruk dan mengharukan.

“Bapa tauke besar, tapi selepas berkahwin kali kedua dengan penduduk tempatan beberapa tahun lalu kehidupan kami empat beradik diabaikannya.

“Kami tidak bebas seperti remaja lain, kerana sebaik pulang dari sekolah kami diarah bekerja setiap hari di restoran miliknya di Bertam Putra. Kami tiada masa untuk berhibur seperti orang lain,” katanya.

Menurut Ali lagi, bukan sahaja kebajikan, malah sering dipukul jika melakukan kesalahan kecil dan keadaan ini turut sama dialami adik lelaki mereka Abu Bakar.

“Bapa terlalu mengikut kata isteri barunya membuatkan kami empat beradik sering menjadi mangsa dimarahi dan dipukul sepanjang masa.

“Kehidupan kami empat beradik semakin tertekan dan sering menjadi mangsa kemarahan ibu tiri selepas mengetahui bapa berkahwin baru dengan seorang warganegara Indonesia,” katanya.

Katanya, selepas bergaduh besar dengan bapa, ibu tiri mereka membawa diri dan tinggal berasingan dan restoran itu kemudiannya diurus oleh isteri baru bapanya.

“Keadaan bertambah teruk apabila isteri baru bapa memperlakukan kami seperti orang gaji, menyebabkan saya dan Rahman keluar dari situ dan mencari pekerjaan di Kuala Lumpur manakala Abu Bakar dan Maisarah kami serahkan kepada bapa saudara untuk dijaga.

“Ketika pulang beraya dua bulan lalu, bapa memaklumkan ingin membawa dua adik kami berpindah mengikut isterinya ke Indonesia. Saya dan Rahman membantah kerana bimbang keselamatan mereka,” katanya.

Lantaran itu, dia membuat laporan polis bagi menghalang dua adiknya itu dibawa menetap di negara berkenaan.