JOHOR BAHRU: Seorang bapa kepada 12 anak di Kampung Sungai Rinting C di sini, sanggup berjalan kaki sejauh 10 kilometer (km) dua kali sehari, untuk mencari barangan kitar semula bagi membeli makanan harian keluarganya sejak bertahun lalu.
Zulkefli Jusoh, 47, berkata dia perlu melakukan kerja itu bagi membeli lima kilogram beras setiap hari selain lauk untuk dimasak.
“Saya akan keluar rumah pada awal pagi dan pulang pada tengah hari. Saya keluar semula pada petang sebelum menjual barangan kitar semula seperti botol, tin minuman dan besi buruk di Kampung Teluk Jawa, Masai.
“Saya mampu memperoleh sehingga RM20 sehari selepas menjual semua barangan berkenaan. Walaupun jumlah itu kecil, ia membantu saya menampung kehidupan keluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.
Zulkefli dan isterinya, Zabidah Ghani, 40, berasal dari Besut, Terengganu tinggal di perkampungan itu sejak 20 tahun lalu serta dikurniakan 12 anak berusia antara sembilan bulan hingga 23 tahun.
Anak pasangan itu ialah Puteri Nur Aliya Maysara, sembilan bulan; Muhammad Sharulnizam Shah, 3; Rabiatul Adawiah, 5; Muhd Shahmi, 7 (diserahkan kepada keluarga angkat); Muhammad Izuwan, 9; Nurul Ain, 11; Muhammad Osman, 12; Muhammad Mustakin, 15; Muhammad Hafuzuddin, 18; Muhammad Al Amin, 20; Muhammad Ab Hadi, 22, dan Muhammad Marzuki, 23.
Menurut Zulkefli yang tinggal di rumah papan, akibat kesempitan hidup, empat anak lelakinya yang berusia 15 hingga 23 tahun sudah lama keciciran sekolah.
“Semua anak memahami keadaan kami yang serba kekurangan dan tidak pernah mendesak saya untuk menyediakan kemudahan selesa.
“Bagi menambah pendapatan, saya juga melakukan kerja sambilan seperti buruh di pelabuhan Pasir Gudang,” katanya.
Menurut Zulkefli, bayaran diterima sebagai buruh membolehkannya membayar bil utiliti selain sebagai wang saku anak untuk ke sekolah.
Katanya, Marzuki yang bekerja di pelabuhan berkenaan turut membantu keluarga setakat yang terdaya kerana pendapatan anaknya itu juga tidak menentu.
“Pada masa sama, hampir semua barangan termasuk perabot di rumah ini disumbangkan oleh kenalan yang prihatin dengan nasib kami.
“Berikutan pendapatan saya hanya cukup untuk menampung belanja dapur, saya juga tidak mampu membaiki dapur yang bocor menyebabkan bahagian berkenaan sering dimasuki air hujan.
“Saya bimbang sekiranya keadaan itu berterusan, ia boleh mengakibatkan litar pintas dan membahayakan anak,” katanya.
No comments:
Post a Comment