Friday, June 29, 2012

Turki hantar askar di sempadan Syria

SEBUAH trak tentera Turki mengangkut pelancar peluru berpandu di wilayah Hatay dekat sempadan Syria semalam.



ANKARA - Pemerintah Turki menghantar sejumlah askar dan pelancar roket antipesawat di sempadan negara itu dengan Syria, menurut beberapa laporan semalam.
Penghantaran itu dibuat seminggu selepas tentera Syria menembak jatuh sebuah pesawat tentera Turki pada Jumaat lalu.
Menurut akhbar Milliyet, kira-kira 30 buah kenderaan tentera mengangkut pelancar roket antipesawat meninggalkan sebuah pangkalan di wilayah Hatay, tenggara Turki.
Imej yang disiarkan stesen televisyen TRT menunjukkan puluhan kenderaan tentera membawa sejumlah askar ke sempadan negara tersebut.
Stesen televisyen tersebut turut menyiarkan imej beberapa buah kereta kebal yang dihantar ke sempadan Syria.
Ia turut melaporkan bahawa konvoi tentera yang membawa senjata berat dan peluru berpandu bergerak ke daerah Yayladag di wilayah Hatay awal semalam.
Kelmarin, satu konvoi tentera yang membawa beberapa pelancar peluru berpandu bergerak ke daerah Kilis di wilayah Gaziantep.
Agensi berita Anatolia melaporkan lewat kelmarin, pergerakan kenderaan tentera turut berlaku di wilayah Sanliurfa.
Tindakan Syria menembak jatuh pasawat tersebut telah mencetuskan kemarahan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Seorang menteri Syria, Omran al-Zoebi kelmarin menyatakan tenteranya mungkin tersilap menyangka pesawat Turki itu ialah jet milik Israel.
Menteri Penerangan Syria itu memberitahu rangkaian berita A Haber menerusi telefon bahawa negaranya tidak mahu berkrisis dengan Turki.
Turki sebelum ini berulang kali mendesak Presiden Syria, Bashar Al-Assad meletakkan jawatan ekoran penentangan rakyat terhadap pemerintahannya sejak Mac tahun lalu.
Ekoran pertempuran antara tentera Syria dengan para pemberontak, seramai 33,000 penduduk negara itu melarikan diri ke Turki untuk mendapatkan perlindungan. - Agensi

No comments:

Post a Comment