DUNGUN: “Kami hendak bersekolah kerana mahu pandai seperti rakan lain,” kata Norsyafikah Zuki, 11, seorang daripada empat beradik yang tidak boleh bersekolah berikutan ketiadaan surat beranak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nyior, Paka, dekat sini, semalam.
Menurutnya, dia bersama abangnya Zulfitri, 13, dan adiknya, Nasarudin, 9, serta Nazihan, 7, hanya mampu memerhatikan dari tangga rumah mereka rakan sebaya lain berjalan ke sekolah.
“Kami mahu menjadi seperti pelajar lain bangun awal pagi dan pergi ke sekolah menuntut ilmu kerana kami malu dengan anak jiran yang pandai menulis dan membaca berbanding kami,” katanya.
Katanya, dia difahamkan yang mereka adik-beradik tiada surat beranak berikutan kegagalan ibu bapa menjelaskan bil hospital ketika bersalin menyebabkan surat pengesahan kelahiran tidak dapat dikeluarkan.
Bapanya, Zuki Hashim, 45, berkata pendapatannya yang tidak menentu dan kecil sebagai pembantu tukang rumah menyebabkannya tidak mampu menjelaskan bil hospital.
“Saya berasal dari Pasir Putih, Kelantan manakala isteri, Suharni Basir, 43, dari Palembang, Indonesia dan sudah hampir 12 tahun tinggal di sini, dengan bekerja kampung dan pendapatan diterima tidak cukup untuk menanggung perbelanjaan semua anak.
“Saya dan isteri sering termenung mengenang nasib diri terutama anak yang tidak dapat ke sekolah terutama masa depan mereka.
“Kami bernasib baik kerana tuan rumah memberi kebenaran untuk melewatkan bayaran sewa sebanyak RM200 sebulan jika kesempitan wang,” katanya yang memperoleh upah antara RM20 hingga RM30 sehari jika ada tugasan membuat rumah.
Menurutnya, dia sudah merujuk masalah mendapatkan sijil kelahiran anaknya di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) Dungun, namun dimaklumkan perlu pergi ke ibu pejabat JPN di Kuala Lumpur dengan membawa surat pengesahan kelahiran dari hospital untuk mendapatkan sijil itu.
“Saya sekarang memikirkan bagaimana hendak mencari wang untuk menjelaskan bil rawatan selain bayaran jika didenda berikutan kelewatan mendaftar anak serta kos tambang untuk ke Kuala Lumpur,” katanya yang berharap mendapat bantuan pihak berkaitan untuk mendapatkan surat beranak anak-anaknya.
No comments:
Post a Comment