Wednesday, September 4, 2013

Bekas Ketua Tentera dibicara dakwaan guling kerajaan


Sekumpulan wanita yang menggelarkan diri mereka sebagai 'mangsa rampasan kuasa selepas zaman moden' mengadakan bantahan di luar mahkamah ketika lebih 100 suspek didakwa kerana terlibat dengan rampasan kuasa 1997 di Ankara, Turki, kelmarin. - AFP
ANKARA 3 Sept. - Bekas Ketua Tentera Turki dan lebih 100 suspek dibicarakan hari ini atas dakwaan melancarkan rampasan kuasa pada 1997, yang menumbangkan Perdana Menteri berhaluan Islam pertama negara ini.
Jeneral Ismail Hakki Karadayi bersama 102 defenden lain yang juga rakan subahatnya, berdepan tuduhan 'menggulingkan kerajaan menggunakan tentera'.
Pendakwa raya, sebelum ini menuntut supaya hukuman mati dikenakan terhadap Karadayi, 81, yang tidak menghadiri sebutan kes itu, hari ini di mahkamah Ankara ekoran sakit.
Tunjuk perasaan daripada kumpulan yang menyokong dan menentang bekas pemimpin tentera itu turut diadakan di luar mahkamah.
Perbicaraan berprofil tinggi itu tertumpu kepada penggulingan bekas Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan, yang juga mentor politik kepada Perdana Menteri ketika ini, Recep Tayyip Erdogan.
Namun, Karadayi menafikan tentera pimpinannya melancarkan rampasan kuasa, lapor akhbar harian Milliyet.
Pasukan tentera itu, yang menyifatkan diri mereka sebagai pelindung prinsip sekular Turki, telah menggulingkan tiga kerajaan sebelum ini iaitu pada 1960, 1971 dan 1980.
Perbicaraan kes tersebut akan berlanjutan sehingga 6 September ini dan keputusan dijangka diumumkan dalam tempoh beberapa bulan lagi. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130904/lu_05/Bekas-Ketua-Tentera-dibicara-dakwaan-guling-kerajaan#ixzz2dtqKpihH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment