Wednesday, September 4, 2013

Saman kekasih RM600,000

Foto
SAAT bahagia Ervin bersama teman wanita dan anak.
Kuala Lumpur: Berasa diri dipergunakan teman wanita yang didakwa hanya mahu mendapatkan sperma berkualiti tinggi daripadanya, seorang lelaki Bosnia memfailkan saman ganti rugi RM600,000 terhadap kekasihnya itu.
Menerusi saman yang difailkan di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat lalu, plaintif, Ervin Ahbabovic, 41, turut mendakwa dia berasa tertekan selepas dihalau keluar dari rumah oleh teman wanitanya itu. 
Dalam penyata tuntutannya, Ervin mendakwa dia dipergunakan defendan bagi memperoleh cahaya mata lebih baik berbanding sperma warga tempatan atas persepsi genetik orang Eropah mempunyai kualiti tiada tandingan, juga dipandang hebat.

Ervin yang bekerja sebagai pengarah komersial di syarikat tempatan memfailkan saman itu dengan menamakan teman wanita yang berusia 29 tahun itu sebagai defendan menerusi Tetuan The Law Chambers of Mohamad Fauzi.


Ervin yang memegang status penduduk tetap menjalinkan hubungan dengan wanita warga tempatan itu pada 2008 dan hasil hubungan itu mereka mempunyai seorang anak.

Plaintif mendakwa dia tinggal bersama defendan dan hasil perhubungan itu mereka mempunyai seorang anak berusia empat tahun serta berhasrat mahu mengahwini wanita berbangsa Cina itu.

Bagaimanapun Ervin mendakwa, selepas teman wanitanya melahirkan anak, mereka kerap bergaduh selain mula menyedari wanita itu mempunyai keinginan seksual tinggi serta melakukan hubungan kelamin enam kali sehari dengan durasi setiap sesi selama satu jam.

Ervin mendakwa, perilaku defendan juga berubah di mana wanita itu bersifat cemburu buta, kegelisahan, menjadi ganas sehingga mencederakan dengan menikam lengan kirinya, selain mengugut untuk membunuh diri jika keperluan seksnya tidak dipenuhi.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keadaan yang dilaluinya, Ervin bertindak menyuarakan bantahan kepada defendan. Bagaimanapun dia mendakwa akibat tindakan itu dia dihina, dicerca, diherdik selain dipukul dan dihalau serta-merta dari rumah yang diduduki mereka.

Menurut plaintif, dia mendapat ihsan dan bantuan sementara daripada rakannya selepas semua wang simpanannya disimpan defendan dan ketika tinggal bersama, dia mendakwa tidak pernah gagal memberi wang perbelanjaan bulanan sebanyak RM5,000.

No comments:

Post a Comment