Saturday, October 5, 2013

AS berdepan bencana hutang


WASHINGTON 3 Okt. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam memberi amaran bahawa kebuntuan politik yang melumpuhkan Kerajaan Persekutuan sejak dua hari lalu, boleh menyebabkan negara terjerumus dengan bencana hutang.
Amaran itu dikeluarkan ketika rundingan antara beliau dengan pemimpin kanan Parti Republikan gagal menyelesaikan masalah tersebut, mengakibatkan AS terus lumpuh buat hari ketiga hari ini.
Beratus-ratus ribu kakitangan awam masih bercuti tanpa gaji, muzium serta taman negara ditutup dan kebanyakan penyelidikan saintifik ditangguhkan.
Penutupan sebahagian besar agensi negara pada hari ketiga hari ini, mula memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi yang telah sedia lembap.
Dalam pertemuan selama sejam Obama dengan Speaker Dewan Perwakilan dari Parti Republikan, John Boehner dan Pemimpin Minoriti Senat, Mitch McConnell, tiada sebarang kejayaan dicapai, malah Presiden itu dan Boehner saling menuduh kedua-dua pihak enggan mengadakan rundingan.
"Presiden sekali lagi mengulangi beliau tidak mahu berunding," kata Boehner.
Obama dalam wawancaranya dengan CNBC berkata, beliau tidak akan berunding berhubung masalah bajet sehinggalah ahli-ahli politik dari Parti Republikan meluluskan bajet persekutuan khas yang akan memulihkan kerajaan dan meningkatkan hutang siling AS kepada AS$16.7 trilion (RM53.3 trilion).
"Krisis bajet ini perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu atau Washington tidak akan dapat membayar hutang kerajaan dan membuat pembayaran buat pertama kalinya, sekali gus boleh menjejaskan kadar hutang AS," ujar Obama.
Kerajaan AS lumpuh sejak kelmarin selepas Kongres gagal meluluskan satu bajet persekutuan khas ekoran perbalahan berhubung rang undang-undang penjagaan kesihatan Obama. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131004/lu_01/AS-berdepan-bencana-hutang#ixzz2goCTGZPY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment