Saturday, October 5, 2013

Bahan letupan dirampas dari rumah Nur Misuari


Tentera Filipina menggeledah kediaman milik Nur Misuari di Zamboanga City, Zamboanga semalam. - AGENSI
MANILA 4 Okt. - Tentera Filipina hari ini menyerbu kediaman Ketua Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari di Zamboanga dan merampas beberapa dokumen serta bahan letupan dari premis itu.
Jurucakap polis, Cif Inspektor Ariel Huesca berkata, dokumen itu cukup mengaitkan Misuari dengan serangan kumpulan bersenjata MNLF ke atas Zamboanga, selama tiga minggu pada bulan lalu.
Beliau bagaimanapun menolak untuk mendedahkan kandungan dokumen itu.
Huesca berkata, beberapa bahan letupan buatan sendiri turut ditemui di dalam rumah Misuari di Barangay San Roque dalam serbuan tentera di kediaman itu pada kira-kira pukul 4 pagi ini (3 pagi waktu Malaysia).
Katanya, bahan-bahan bukti itu akan diserahkan kepada Kumpulan Siasatan Jenayah (CIDG).
"Dalam serbuan itu, polis terpaksa menggunakan bahan letupan untuk memasuki kediaman yang dikunci dan bertembok tinggi itu.
"Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat dalam operasi tersebut," katanya yang dipetik daripada agensi berita abs-cbnnews.com.
Menurut Huesca, polis diarah menahan Misuari dan merampas senjata yang mungkin disimpan di kediaman itu, yang terletak tujuh kilometer dari tempat pertempuran sebelum ini.
Kerajaan Filipina, semalam memfailkan dakwaan terhadap Misuari kerana melakukan pemberontakan dan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa berhubung insiden serangan di Zamboanga. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131005/lu_05/Bahan-letupan-dirampas-dari-rumah-Nur-Misuari#ixzz2goBuKlFk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment