Saturday, June 28, 2014

Sham Kamikaze diarah bubar perkahwinan


KUALA LUMPUR 27 Jun - Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat dekat sini hari ini mengarahkan perkahwinan bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Sham dengan isterinya, Nurul Halimin Mohd. Salleh pada 16 Januari 2012 dibubarkan (faraq) berikutan pernikahan pasangan itu tidak sah dan terbatal.
Hakim Syarie, Kamarulzaman Ali memutuskan demikian setelah mendapati pernikahan itu telah dilakukan oleh wali hakim yang tidak bertauliah dari pejabat agama malah sijil pernikahan mereka telah disahkan palsu oleh Pejabat Agama Islam Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Sehubungan itu beliau memerintahkan pernikahan itu dibubarkan serta-merta dan persetubuhan antara pasangan itu bermula tarikh berkenaan adalah persetubuhan syubhah (kesamaran) manakala sijil pernikahan mereka dilupuskan.
Walau bagaimanapun Kamarulzaman menegaskan, anak pasangan itu, Aisy Danial yang dilahirkan pada 21 Januari lalu melalui persetubuhan syubhah itu adalah anak sah taraf yang bernasab kepada Sham sebagai bapa kandungnya.
Berdasarkan Seksyen 114 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, setiap anak yang lahir melalui persetubuhan syubhah tetap dianggap sebagai anak sah taraf dan anak kandung kepada bapanya jika dilahirkan antara tempoh enam bulan hingga empat tahun qamariah dikira bermula persetubuhan itu berlaku, begitu juga hak anak berkenaan terhadap harta peninggalan bapanya.
Justeru kata beliau, pasangan itu perlu bernikah semula namun Nurul Halimin tidak perlu menunggu sehingga habis tempoh edah.
Sham atau Shamril Mohd. Salleh, 38, mengemukakan permohonan membubarkan pernikahannya dengan Nurul Halimin, 34, di mahkamah berkenaan pada awal Februari lalu setelah meragui prosedur pernikahannya dan turut memohon pengesahan taraf anaknya yang berusia lima bulan itu.
Sham mengemukakan permohonan itu mengikut Seksyen 62(2)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 melalui peguam syarie, Noorafizah Abdul Aziz yang mewakili pasangan tersebut.
Terdahulu dalam keputusannya, Kamarulzaman melahirkan rasa dukacita apabila pasangan itu menyerahkan urusan pernikahan yang disifatkan penting kepada pihak ketiga yang mungkin tidak mempunyai tauliah sehingga menimbulkan keraguan pengesahan nikah.
"Walaupun ia dilakukan di dalam masjid namun sepatutnya kamu menguruskan sendiri perkara ini setelah defendan (Nurul Halimin) tidak dapat mengesan bapanya untuk menjadi wali," ujar beliau.
Ketika ditanya mahkamah, Sham mengakui pernikahannya itu dijalankan oleh jurunikah yang turut memberitahu dia (jurunikah) adalah wali hakim.
Dia juga mengesahkan bahawa segala urusan pernikahan dilakukan oleh jurunikah itu yang merupakan rakannya dan pernikahan itu berlangsung di Masjid Padang Ibu, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Sham yang ditemui para pemberita setelah prosiding itu selesai memberitahu, dia menyedari masalah tentang kesahihan pernikahannya ketika mendaftar kelahiran anaknya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Setelah mendapat tahu sijil pernikahan itu adalah palsu dan pernikahan itu tidak sah, saya telah memfailkan permohonan faraq nikah ini dan tujuan saya adalah untuk melindungi keluarga saya terutama jika saya meninggal dunia," katanya yang turut ditemani Nurul Halimin
Dia juga memberitahu akan menikah semula dengan Nurul Halimin secepat mungkin namun perlu menyelesaikan beberapa urusan mahkamah.
Sham juga menyifatkan perkara yang berlaku itu mempunyai banyak hikmah namun tidak pasti sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak ketiga yang menguruskan pernikahannya itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140628/ma_03/Sham-Kamikaze-diarah-bubar-perkahwinan#ixzz35t5FLyPS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment