Saturday, June 28, 2014

Wajib sahkan kad pengenalan calon pengawal keselamatan


Oleh Elrafaei Sapi

Kuala Kubu Bharu: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewajibkan semua syarikat kawalan keselamatan membuat pengesahan kad pengenalan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi calon yang memohon bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peraturan berkenaan berkuatkuasa pada 1 September ini dan calon ini perlu tampil secara fizikal di JPN untuk membuat pengesahan kad pengenalan secara biometrik sebelum syarikat berkenaan mengemukan permohonan tapisan keselamatan kepada KDN dan Polis Diraja Malaysia.
"Ini bertujuan memastikan semua pengawal keselamatan tempatan adalah warganegara Malaysia dan pemilik kad pengenalan yang sah," katanya pada Majlis Pelancaran Program 'Certified Security Guards' (CSG) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Menurutnya, KDN telah membuat audit terhadap 56 syarikat kawalan keselamatan dan statistik tangkapan pengawal keselamatan warga asing menerusi operasi bersepadu yang dijalankan pada 1 September 2013 sehingga 23 Jun lalu adalah 659 orang.


"KDN mengambil tindakan tegas membatalkan lapan lesen syarikat kawalan keselamatan dan memberi amaran terakhir kepada 25 syarikat terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/28

No comments:

Post a Comment