Kuala Lumpur: Masjid Jamek Kuala Lumpur di sini, diserbu tidak kurang 400 golongan gelandangan terutama dalam kalangan kutu rayau, penagih dadah, pesakit mental dan golongan tidak bekerja bagi mendapatkan makanan apabila setiap kali tiba waktu berbuka puasa sejak 1 Ramadan lalu.
Malah, terdapat juga golongan bukan beragama Islam turut memasuki masjid menjelang jam 5 petang bagi mendapatkan makanan pihak masjid mula mengedarkan bubur lambuk.
Tinjauan Harian Metro di kawasan berkenaan mendapati golongan itu juga mula berkumpul dan menunggu di luar perkarangan masjid sejak jam 3 petang bagi memastikan mereka mendapat bungkusan makanan yang bakal diagihkan.
Malah, keadaan menjadi sesak apabila ramai antara mereka duduk memenuhi tangga laluan ke kawasan kaunter pembayaran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) berdekatan.
Kebanyakan gelandangan itu dikesan datang dari beberapa kawasan utama di sekitar ibu negara termasuk Chow Kit, Masjid Jamek dan Pasar Seni berikutan akses ke masjid itu lebih mudah berbanding masjid lain yang dikawal ketat oleh pihak pengurusan masjid.
Selepas mengambil bungkusan bubur lambuk, mereka dilihat berkumpul dan berbual kosong di luar pekarangan masjid manakala sebahagian yang lain mula mengambil tempat di dalam dewan masjid sementara menunggu nasi bungkus diedarkan 15 minit sebelum masuk waktu berbuka puasa.
Jika sebelum ini, mereka sering berebut dan berbuat bising ketika mengambil makanan namun pihak pengurusan masjid termasuk kumpulan sukarelawan berjaya mengawal keadaan dan memastikan golongan ini berdisiplin ketika berbaris.
Manakala bagi golongan gelandangan bukan Islam mereka perlu menunggu proses pengagihan bubur lambuk kepada gelandangan beragama Islam selesai terlebih dahulu sebelum dibenarkan beratur mengambil makanan.
Setengah jam sebelum masuk waktu berbuka, pihak masjid mengadakan sesi tazkirah ringkas yang menekankan aspek kebersihan serta adab ketika berhadapan dengan makanan.
Bagaimanapun agak mendukacitakan apabila kebanyakan golongan gelandangan itu dilihat mula bergerak meninggalkan masjid tanpa menunaikan solat sebaik selesai mengisi perut masing-masing.
Seorang kutu rayau yang hanya mahu dikenali sebagai Amin, 48, menyifatkan kedatangan bulan Ramadan adalah rahmat baginya berikutan dapat mengisi perut secara percuma setiap hari tanpa perlu berlapar.
Dia yang mengemis dan tidur di kaki lima sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, mendakwa mengemis selepas dibuang ahli keluarga kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Dia yang mengemis dan tidur di kaki lima sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, mendakwa mengemis selepas dibuang ahli keluarga kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Namun ketika ditanya wartawan sama ada dia berpuasa atau sebaliknya, lelaki itu memberi alasan tidak sihat dan terpaksa tidak berpuasa.
GELANDANGAN memenuhi pekarangan Masjid Jamek Kuala Lumpur bagi mendapatkan juadah berbuka puasa, semalam.
No comments:
Post a Comment