• AwieAwie

VOKALIS Kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman didakwa di Mahkamah Majistret di Ampang, hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, dua minggu lalu.

Awie, 46, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pelakon utama Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Zombie Kampung Pisang itu didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana Misbun, 36 di Jalan 9 USB 5, Taman Ukay Bestari, kira-kira jam 1.30 petang 2 Jun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes.