Friday, July 4, 2014

Buruan berada dalam negara


Oleh Mohd Rizal Abdullah
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan lima suspek militan warganegara ini termasuk seorang pensyarah Universiti Malaya (UM) yang diburu polis berada di Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sentiasa berjaga-jaga dan memberikan perhatian serius malah meningkatkan kawalan sedia ada di dalam negara terhadap sebarang kemungkinan.

“Mereka ini (militan) adalah berbahaya dan orang ramai dinasihatkan tidak cuba mendekati mereka ini.



Ada kemungkinan mereka berada di Malaysia kini,” katanya semasa sidang media selepas majlis penyampaian sijil proctor Ujian Integriti Malaysia (MIT) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam.

Katanya, polis akan terus mengesan mereka yang terbabit dalam aktiviti militan ini kerana ia boleh mengancam keselamatan negara.

“Kemungkinan akan ada lagi tangkapan selepas ini hasil maklumat dan risikan oleh pasukan polis,” katanya.

Dalam kenyataannya kelmarin, Khalid mendedahkan identiti lima individu rakyat Malaysia yang didapati terbabit dalam kegiatan militan antaranya pensyarah UM iaitu Dr Mahmud Ahmad, 36, Mohd Najib Husen, 36, Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39, Mohd Amin Baco, 31, dan Jeknal Adil, 30.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

No comments:

Post a Comment