Tuesday, September 23, 2014

170 kampung berdepan krisis air


Jakarta: Ratusan kampung di seluruh Indonesia berdepan krisis air bersih menjelang musim kemarau.

Di Nusa Tenggara Timur, satu daripada wilayah termiskin di Indonesia dengan penduduk di 170 kampung di 17 daerah berjalan puluhan kilometer untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan memasak dan membasuh.



Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah, Tini Thadeus berkata, semua sumber air yang ada sebelum ini kering-kontang kerana kemarau.

“Untuk mendapatkan bekalan air bersih orang kampung hanya ada dua pilihan - berjalan jauh dan mendapat air percuma atau membelinya dengan harga mahal,” katanya.

Tini berkata, jumlah penduduk yang terjejas dengan kemarau di wilayah Nusa Tenggara Timur setakat ini dianggarkan 40,000.

Di kebanyakan tempat, katanya, peniaga menjual air bersih pada harga Rp5,000 (RM1.35) seliter.

“Mereka membawa air ke kampung-kampung menaiki lori,” katanya.

Sebagai langkah penyelesaian sementara, kata Tini, masalah di Nusa Tenggara Timur hanya boleh diatasi jika wilayah berjiran membantu menyalurkan air bersih.

Kerajaan setempat juga memohon bantuan dana segera daripada Pusat bernilai Rp15 bilion (RM4 juta) bagi mengatasi krisis berkenaan.


Wang itu, kata Tini, akan digunakan untuk menggali ratusan perigi di seluruh Nusa Tenggara Timur.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

No comments:

Post a Comment