Nadzim Johan
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, bencana banjir besar yang berlaku di Pantai Timur boleh dielakkan sekiranya tindakan tegas diambil terhadap amalan rasuah dan pembalakan yang berlaku tanpa kawalan.
“Rasuah ini berlaku dalam banyak peringkat iaitu daripada peringkat kelulusan pemberian tanah sehinggga kepada peringkat pelaksanaannya iaitu pembalakan, sebab itu kerja-kerja yang dibuat tidak mempunyai sistem dan ditarah habis kawasan hutan begitu sahaja.
“Kerosakan alam sekitar yang berlaku ini bagai di luar kawalan, kita tengok sahaja di Sarawak yang kayu balak bernilai RM41.16 juta dirampas dan di Kota Tinggi, Johor pula hutan simpan seluas 39.94 hektar menjadi lokasi pembalakan haram,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas lanjut mengenai Laporan Eksklusif Utusan Malaysia kelmarin mengenai penerokaan hutan yang berleluasa menjadi antara penyumbang kepada banjir besar terutama di Kelantan dan Pahang ketika ini.
Menurut Nadzim, amalan ra­suah dalam kegiatan pembalakan melibatkan banyak pihak termasuk golongan ahli perniagaan, golongan ahli politik dan pegawai kerajaan berkaitan termasuk di Pejabat Tanah negeri dan daerah serta Jabatan Perhutanan.
“Dalam hal ini, kita perlu ada sistem aduan yang lebih efisyen dan rakyat juga perlu menjadi mata dan telinga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tindakan boleh dikenakan terhadap golongan yang tamak dan rakus ini,” kata­nya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands, R. Ramakrishnan berkata, beliau mencadangkan sistem penggiliran lokasi bertugas dilaksanakan terhadap ter­hadap pegawai di Pejabat Tanah dan Jabatan Perhutanan bagi menyekat perbuatan salah guna kuasa dan amalan ra­suah.
“Pegawai di Pejabat Tanah atau Jabatan Perhutanan tidak boleh berada di satu tempat terlalu lama kerana boleh mengundang penyelewengan. Selain itu, kerajaan kena betul-betul pantau terhadap apa yang berlaku di bawah untuk membendung masalah rasuah ini,” katanya.
Tegas beliau, inisiatif SPRM membuka pejabat di Cameron Highland untuk memantau penerokaan tanah secara haram boleh dijadikan contoh untuk agensi itu lebih agresif memantau kegiatan pembalakan dan penerokaan ta­nah yang mempunyai unsur rasuah di setiap negeri
“Kalau kita tidak serius untuk menangani masalah pembalakan dan penyelewengan ini, mereka yang akan menerima kesan adalah generasi akan datang kerana alam sekitar bakal musnah sekiranya kita tidak menjaganya dan memeliharanya dengan baik,” katanya.