Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, kerajaan negeri perlu mendedahkan sama ada kerja-kerja menarah bukit itu mendapat kebenaran dan diberikan permit serta pihak yang bertanggungjawab menerokanya.
Sambil melahirkan rasa kesal, Muhamad Farid berkata, puncak Bukit Sungai Pinang tidak sepatutnya diganggu kerana kesan penerokaan kawasan hutan di situ bakal memberi ancaman kepada penduduk di kawasan tersebut.
“Kesan kemusnahan hutan yang diteroka itu dapat dilihat dengan jelas dari arah Kampung Kuala Sungai Pinang sekali gus membimbangkan penduduk.
“Apa akan berlaku sekiranya hujan lebat? Sudah puas teguran dibuat kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya kawasan bukit tidak dipotong. Tidakkah serik dengan kes banjir lumpur yang berlaku sebelum ini?” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Muhamad Farid, Kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya mengambil pengajaran daripada kejadian bencana alam yang berlaku terhadap penduduk ekoran kerakusan menggondolkan Bukit Relau di sini sebelum ini.
Paling dikesalkan tambah beliau, kawasan hutan di Bukit Relau atau turut dikenali sebagai Bukit Botak sehingga kini masih gagal dibaik pulih sepenuhnya meskipun sudah bertahun-tahun usaha pemuliharaan dijalankan.
Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan bagaimana Kerajaan DAP Pulau Pinang mempraktikkan amalan Cekap, Akauntabiliti dan Telus seperti dilaungkan dalam pentadbiran mereka sedangkan boleh terlepas pandang kegiatan menggondolkan hutan di Bukit Sungai Pinang.