Timor Leste
KUALA LUMPUR - Timor Leste sudah bersedia untuk menyertai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) pada bila-bila masa, kata Dutanya di Malaysia, Jose Antonio Amorim Dias.
  
Beliau berkata selepas mencapai kemerdekaan 13 tahun lepas, Timor Leste  yakin dapat memenuhi kriteria sebagai anggota Asean, termasuk menyediakan sumber manusia mencukupi untuk menghadiri banyak mesyuarat Asean sepanjang tahun.
  
"Kami tidak mempunyai sebarang sasaran spesifik (bagi tahun mana), dengan memahami ia bukan proses mudah tetapi mesej daripada rakyat Timor Leste ialah, diharapkan negara anggota Asean dapat menerima permohonan kami secepat mungkin," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di kedutaan itu di sini dua hari lepas.
  
Beliau berkata Timor Leste setakat ini telah sekurang-kurangnya memenuhi dua syarat utama bagi keanggotaan Asean iaitu negara terletak dalam kawasan rantau ini dan ia telah membuka kedutaan di negara-negara anggota Asean.
  
Buat masa ini, Timor Leste telah membuka 22 kedutaan. Selain daripada negara anggota Asean, kedutaan telah dibuka di Eropah, Afrika, Amerika Utara dan juga Amerika Latin.

"Bagaimanapun, menyertai Asean bukan bermakna kami meminta bantuan kewangan daripada negara anggota ASEAN kerana kami mempunyai sumber kewangan kami sendiri.
 
"Malah, kami perlu bayar bagi keanggotaan Asean dan pastinya, kami perlu menjalankan semua kewajipan  dan tanggungjawab kami sebaik sahaja kami menjadi anggota."
  
Amorim Dias berharap Sidang Kemuncak ke-26 Asean di sini bulan ini, negara anggota akan mengambil langkah proaktif untuk memperlihatkan komitmen bagi menjadikan Timor Leste sebagai anggota Asean.
  
Timor Leste juga mahu melihat pegawainya dilatih di Sekretariat Asean (di Jakarta), katanya dan menambah kata beliau berharap pegawai Sekretariat Asean akan pergi di Timor Leste untuk memberikan latihan intensif kepada pegawainya.
  
"Dengan ini, ia akan menunjukkan keseriusan kedua-dua pihak (Timor Leste dan negara anggota Asean), susulan kami sedang berusaha untuk mewujudkan sekretariat kebangsaan kami bagi Asean.

"Pegawai daripada Sekretariat Asean di Jakarta atau negara Asean yang lain boleh melawat Timor Leste untuk melihat perkembangan dan usaha kami untuk menyertai Asean," kata Amorim Dias.
 
Asean dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
  
Bekas Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmao, semasa melawat Malaysia pada Mac tahun lepas, berkata Kuala Lumpur menyokong permohonan Dili (ibu negara Timor Leste) untuk menjadi anggota Asean.
 
Amorim Dias berkata, walaupun beberapa negara anggota berpendapat usaha Timor Leste untuk menyertai Asean masih kurang, beliau menegaskan negaranya telah mencapai kemajuan memberangsangkan sejak merdeka.
 
Berhubung pembangunan Timor Leste, beliau berkata kerajaan telah membina lebih banyak sekolah dan menyediakan biasiswa untuk pelajar melanjutkan pelajaran di luar negara, sebagai satu aspek pelaburan sumber manusia.

Sektor minyak dan gas Timor Leste berjaya meningkatkan ekonomi negara dengan menjana pendapatan antara US$200 dan US$300 juta sebulan, yang memberi manfaat kepada 1.2 juta penduduk, kata Amorim Dias.
  
"Ya, kami masih perlukan masa untuk membangunkan rakyat dan infrastruktur kami tetapi bayangkan lah, kami membina negara kami daripada kosong ... anda tidak dapat membina sebuah negara yang kuat, negara sempurna dalam masa 13 tahun.
 
 "Anda perlukan kira-kira 30 hingga 50 tahun," katanya tentang negaranya itu yang sebelum ini dikenali sebagai Timor Timur. - Bernama