beras
BANGKOK - THAILAND. India mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport utama beras pada 2014 dan mengatasi Thailand yang sebelum ini dijangka mendahului berdasarkan data awal bagi suku terakhir tahun lepas.
 
Menurut laporan pertama pasaran beras 2015 Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), pengeksportan beras oleh India dan Thailand ternyata melonjak pada akhir 2014 dan berdasarkan kajian semula eksport itu menunjukkan India mengatasi Thailand.
 
India mencatatkan eksport beras sebanyak 11.3 juta tan metrik - satu angka yang tidak dijangka dan terbukti mengatasi tipis Thailand sebanyak 11.0 juta tan metrik (beras kilang).
  
Bagaimanapun, laporan FAO itu mengunjurkan Thailand akan merampas semula kedudukan sebagai pengeksport utama makanan itu pada 2015 kerana dijangka mengeksport 11.2 juta tan berbanding India sebanyak 9.3 juta tan.
  
Mengulas keadaan secara keseluruhannya, FAO berkata selepas menikmati limpahan hasil tuaian sejak beberapa tahun ini, pengeluaran beras akan berdepan pengurangan tahunan pertamanya sejak 2009 manakala harga globalnya juga kekal lemah.
  
FAO turut menurunkan unjuran pengeluaran padi globalnya sebanyak 3.3 juta tan sejak Disember kepada 741.3 juta tan (494.4 juta tan beras kilang) dan hanya 0.5 peratus di bawah rekod prestasi bagi 2013.
  
"Pengeluaran padi Thailand merosot sebanyak 2.7 peratus pada 2014 kepada 34.3 juta tan (22.7 juta tan beras kilang) disebabkan kesan pengurangan tanaman dan kawasan penanaman.
  
"Namun bagi tahun ini, Thailand dijangka meningkatkan pengeluarannya sebanyak 2.1 peratus," kata Timbalan Pengarah dan Wakil Serantau FAO bagi kawasan Asia dan Pasifik, Hiroyuki Konuma, pada satu taklimat media, di sini.
  
FAO turut mengunjurkan, berdasarkan persekitaran cuaca normal, tahun ini akan menyaksikan pemulihan pengeluaran padi dunia yang menyederhana sekitar satu peratus kepada 750 juta tan metrik.
  
Seiring kejatuhan harga di peringkat global, banyak negara pengimport beras akan meneruskan dasar pengeluaran beras menumpukan keupayaan pengeluaran sendiri.
  
Indonesia turut diunjur mengurangkan importnya sebanyak 25 peratus pada 2015, Filipina 21 peratus dan Bangladesh sebanyak 36 peratus.
  
Menurut FAO, persaingan pengeksport juga dijangka sengit tahun ini. - Bernama