Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my
Ipoh: “Hampir 20 tahun saya terseksa apabila sering dipukul serta dianggap bagaikan hamba di dalam rumah oleh suami sehingga menyebabkan saya tidak tahan dan nekad untuk membalas dendam terhadap suami.
“Saya berjumpa dengan seorang bomoh di Gerik selepas diperkenalkan rakan dan bomoh berkenaan melakukan upacara menggunakan darah haid serta air mani gajah bertujuan menjadikan suami mengikut arahan saya seperti budak sekolah,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimah, 44.
Menceritakan kembali upacara dilakukan bomoh berkenaan, Rahimah yang berasal dari Semenyih, Selangor berkata, dia yang dibawa kenalannya ke rumah bomoh berkenaan pada awalnya terpaksa pulang selepas upacara itu tidak dapat dilakukan berikutan dia tidak datang haid.
Katanya, beberapa hari selepas itu, dia kembali berjumpa dengan bomoh berkenaan yang memintanya menitiskan darah haidnya ke dalam botol dan kemudiannya dicampur air mani gajah.
Menurutnya, air mani gajah disediakan bomoh itu sebelum beberapa mantera dibaca dalam keadaannya terpaksa berbaring separuh bogel di hadapan bomoh itu dan upacara berkenaan tamat hampir sejam.
“Bomoh berkenaan hanya meminta saya menitiskan setitis gabungan air mani gajah dan darah haid itu di dalam makanan suami serta perlu dilakukan sehingga semua ramuan terbabit habis bagi memastikan ia mujarab.
“Selepas hampir seminggu memberikan suami saya makan makanan dicampur dengan ramuan itu, suami mula berubah dan bersifat seperti keanak-anakan termasuk menuruti segala arahan saya,” katanya.
Ibu kepada empat anak itu berkata, dia tidak memikirkan dosa disebabkan tidak tahan dengan sikap suaminya yang panas baran dan sering memukulnya sehingga menyebabkan anggota badannya lebam.
Katanya, pada waktu itu, dia sangat berpuas hati apabila berjaya menundukkan suaminya dengan semua arahan diberikannya dituruti sehinggakan semua kerja rumah dilakukan suami selepas pulang dari kerja.
Menurutnya, perlakuan suaminya yang sentiasa menuruti arahannya hanya berlaku di rumah dan suaminya akan kembali normal apabila berada di tempat kerja menyebabkan tiada sesiapa mengesyaki tindakannya itu.
Rahimah berkata, kegembirannya selama dua tahun menundukkan suaminya bertukar menjadi duka apabila tindakannya disedari ibu mentuanya yang datang ke rumah dan pelik dengan tingkah laku anaknya itu.
“Dalam diam ibu mentua membawa suami saya berubat dan selepas pulih, suami menceraikan saya dengan talak tiga manakala keempat-empat anak diletakkan di bawah jagaannya disebabkan dia bekerja,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42786#sthash.JD5R588N.dpuf
No comments:
Post a Comment