Golongan mualaf bersama penduduk Islam lain mendengar ceramah agama sebelum berbuka puasa di Masjid al-Nasr di Wilingboro, New Jersey di Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini. Agensi
SEATTLE 4 Julai – Sekumpulan penduduk di Amerika Syarikat yang baru memeluk Islam dan buat pertama kali menyambut Ramadan, menyifatkan puasa sebagai cabaran dalam menahan dahaga dan lapar.
Laman web International Business Times melaporkan, pemuda di Albany, New York, Chris Duffy yang memeluk Islam pada tahun lepas berkata, menahan lapar dan dahaga baginya adalah mudah, tetapi tekanan sosial daripada keluarga dan rakan bukan Islam menyukarkannya.
“Saya mengalami kesukaran kerana merasa terpinggir daripada keluarga saya terutama baru-baru ini, saya pergi ke majlis makan di rumah bapa saudara sempena sambutan Hari Bapa.
“Sukar untuk saya menerangkan kepada mereka kenapa saya tidak boleh makan. Godaan untuk makan sangat tinggi,’’ katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Pusat Komuniti Ahmadiyya Muslim di sini, kelmarin.
Seorang lagi mualaf dari Houston, Alondra Cadena, 19, berkata, dia sukar menyesuaikan diri tanpa makanan dan minuman terutama ketika cuaca panas.
“Saya pertama kali menyambut Ramadan dan saya cuba berpuasa, tetapi badan saya masih belum dapat menyesuaikan diri lagi,’’ katanya.
Bagi Jonathan Torres dari Waterbury, Connecticut, tidak minum pada siang hari merupakan satu perkara yang sangat menyukarkannya.
“Saya pernah berpuasa sebelum ini ketika menganut agama Kristian dan mendalami Buddha, tetapi tidak pernah tidak minum air,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment