Sunday, July 5, 2015

Krisis ekonomi Greece 
cetus perpecahan


Rakyat mengundi dalam pungutan suara hari ini
05 Julai 2015 12:05 AM



ATHENS 4 Julai - Krisis ekonomi Greece mencetuskan perpecahan ketara apabila berpuluh-puluh ribu rakyat Greece yang menyertai demonstrasi, terbahagi kepada dua pihak dalam menentukan masa depan negara sama ada mahu kekal bersama Kesatuan Eropah (EU) atau sebaliknya menerusi satu pungutan suara esok.
Pungutan suara tersebut tetap diteruskan selepas mahkamah ter­tinggi negara ini menolak rayuan dua rakyat Greece yang membantah kempen menyelesaikan krisis hutang negara ini dengan meminjam wang daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Perdana Menteri, Alexis Tsipras yang dipilih pada Januari lalu dengan janji mahu mengakhiri langkah penjimatan, menggesa kumpulan penyokongnya yang berhimpun di Dataran Syntagma, tengah Athens untuk menolak syarat ketat yang dikenakan oleh IMF dalam perjanjian bantuan kewangan yang ditawarkan.
Tsipras juga mengetepikan tekanan daripada negara anggota EU yang memberi amaran bahawa keputusan ‘Tidak’ terhadap pungutan suara itu boleh menjejaskan keanggotaan Greece dalam Eropah.
Malah, beliau menyifatkan amaran tersebut sebagai menipu dan mereka takut terhadap kejatuhan Eropah serta ekonomi dunia.
“Kamu tidak boleh mengalah terhadap mereka yang menyebabkan kesusahan kepada kehidupan seharian kamu.
“Esok, kita bukan sahaja memutuskan untuk kekal di Eropah, tetapi memastikan kita hidup dengan bermaruah di benua ini,” kata pemimpin berusia 40 tahun itu di hadapan kira-kira 50,000 penyokong.
Kumpulan penentang Tsipras menuduh beliau mempertaruhkan masa depan Greece terhadap pungutan suara berkenaan yang dilihat tidak mengikut piawaian antarabangsa dan tidak berlaku adil.
Di kem penyokong yang bersetuju dengan langkah meminjam wang daripada IMF, beribu-ribu orang berkumpul di depan Stadium Olimpik sambil menyanyikan lagu tema EU, Ode to Joy walaupun jumlah mereka dilihat lebih sedikit berbanding kumpulan penentang.
Seorang pakar ekonomi yang kini menganggur, Marina Peppa, 45, berkata, dia memilih untuk mengundi ‘Setuju’ bagi memastikan masa depan anaknya yang lebih baik.
“Situasi ini bukan mudah, tetapi jika saya mengundi ‘Tidak’, Greece akan mengalami kemelut yang berpanjangan sekali gus menjadi negara miskin,” katanya. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/krisis-ekonomi-greece-8232-cetus-perpecahan-1.110507#sthash.nDsumrCi.dpuf

No comments:

Post a Comment