PETALING JAYA: Pengesahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengenai penemuan dokumen penyaluran dana ke akaun peribadi yang didakwa milik Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan Wall Street Journal (WSJ) juga memperoleh maklumat sama.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, malahan pengesahan Gani itu boleh dianggap sesuatu yang lebih menggemparkan berbanding laporan WSJ pada Jumaat.
"Persoalan timbul, apakah dokumen sulit yang sama ini menjadi asas kepada laporan WSJ? Apakah Peguam Negara juga akan dituduh menyiasat 1MDB berdasarkan info-info palsu yang diledakkan seorang bekas pekerja Petrosaudi seperti yang diwar-warkan? Jika ya, apakah Kementerian Dalam Negeri akan memberikan surat tunjuk sebab kepada Peguam Negara?
"Bagaimanapun, secara tidak langsung, pengesahan Tan Sri Abdul Gani Patail telah memberikan kewibawaan kepada laporan WSJ berbanding penafian Datuk Seri Najib Razak," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Tuan Ibrahim menambah, memandangkan Peguam Negara mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap kes ini, maka Perdana Menteri perlu mengambil tindakan bermaruah untuk bercuti serta-merta, agar siasatan dilihat telus dan bebas.
"Ada positifnya untuk Najib bercuti. Masa itu boleh digunakan sebaiknya untuk beliau boleh merancang pendakwaan saman fitnah kepada WSJ, Tun Dr Mahathir, Peguam Negara dan lain-lain yang mengaitkan beliau dalam skandal 1MDB memandangkan Najib yakin ini adalah angkara sabotaj untuk menumbangkan kerjaya politik beliau," katanya.
Pada petang Sabtu, Gani mengesahkan pasukan tindakan khas dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara menyerbu tiga premis membabitkan syarikat yang dikatakan terbabit menyalur dana ke akaun peribadi itu.
Dalam serbuan itu, beberapa dokumen berkaitan penyaluran dana hampir AS$700 juta itu ditemui dan sedang diteliti pihaknya.
No comments:
Post a Comment