KUALA LUMPUR - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini mendesak semua pihak dalam Lembaga Tabung Haji (TH) yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk meletak jawatan.

Presidennya, Amidi Abdul Manan berkata, ia bagi mengembalikan penubuhan dan urus tadbir ‎TH ke objektif asal.

"‎Unsur-unsur 1MDB perlu 'dibersihkan' daripada TH. Langkah ini bagi memastikan keyakinan orang Islam terhadap TH dapat dipertahankan.

"Semua pihak khususnya pengurusan tertinggi TH yang terlibat dengan skandal ini harus meletak jawatan. Dalam masa yang sama, kami ingin mendesak Pengerusi TH sendiri, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk meletak jawatan," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Katanya, Abdul Azeez telah melakukan dua kesalahan yang mencalar integriti dan imej TH terhadap orang ramai.

"Pertama, beliau menafikan pembelian tanah tersebut dan sehari selepas itu pihak pengurusan TH pula menyokong apa yang tersebar di media sosial‎.

"Kedua, apa yang dibuat pada hari Sabtu lepas adalah menjual semula tanah tersebut dengan keuntungan. Jadi kami ingin menyoal adakah ini fungsi TH? Adakah untuk menjaga hartanah Bumiputera di kawasan bandar?" soalnya.

Abdul Azeez sebelum ini menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan desakan supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Tabung Haji yang disandang sejak 2013.

Menurut Abdul Azeez, ini kerana beliau tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh merugikan TH.

Artikel berkaitan: 'Abdul Azeez: Saya tidak akan letak jawatan'

Jelas Amidi lagi,  keperluan menjaga dan mempertahankan hartanah Bumiputera terutamanya di Kuala Lumpur boleh masih boleh direalisasikan menerusi bantuan pelbagai dana lagi seperti Mara, Dana Amanah Hartanah Bumiputera.

‎Sehubungan itu, pihaknya mendesak semua pihak yang terlibat dengan skandal tersebut meletak jawatan bagi mengekal kepercayaan orang ramai terhadap TH.