Tuesday, March 30, 2010

Kroni Umno-BN Seleweng Wang Ihsan Punca Bangunan Runtuh




KUALA TERENGGANU 30 Mac - Pemberian wang ihsan antara faktor utama kejadian bangunan runtuh yang semakin menjadi di Terengganu kebelakangan ini disebabkan gejala rasuah berleluasa yang berlaku dengan penyalahgunaan wang tersebut.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Terengganu, Abdul Rahman Yusof berkata kejadian bangunan runtuh yang terjadi adalah akibat daripada penyelewengan spesifikasi dan ciri-ciri keselamatan yang diragui akibat amalan rasuah berhubung pengagihan wang ihsan kepada kroni Umno dan Barisan Nasional.
"Semua pembinaan di Terengganu yang dibuat sejak tahun 1999 melalui Jabatan Pembangunan Pusat yang mengunakan wang royalti yang dipanggil wang ihsan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional ini seharusnya disiasat.
"Kebanyakan projek pembangunan yang melalui JPP ini memerlukan siasatan terperinci kerana tidak melalui proses tender biasa dan diberikan kepada kroni-kroni Umno melalui  proses rundingan terus atau 'direct negotiation'.
"Bangunan  yang dibangunkan atas nama wang ihsan ini tidak mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan dan mengancam nyawa orang ramai," tegas beliau semasa dihubungi Suara Keadilan.
Kejadian terbaru petang semalam mengakibatkan seorang buruh warga Bangladesh maut, manakala empat lagi rakannya cedera apabila para besi bagi pembinaan bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) runtuh.
Sebelum ini, bumbung Sekolah Menengah Ajil,  bumbung stadium Sultan Mizan, bangunan stesen bas Kuala Berang  dan bumbung masjid Kampung Puteh di Kemaman juga dilaporkan runtuh.
Selain itu, kolam renang yang pernah digunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) di Batu Burok pula dilaporkan bocor.
Dalam satu kenyataan hari ini Abdul Rahman juga berkata terlalu banyak kejadian keruntuhan dan kecacatan dalam pembangunan projek-projek di Terengganu yang mengancam keselamatan dan nyawa orang awam. 

"Antaranya, keruntuhan Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, keruntuhan kubah Masjid Kampung Puteh, keruntuhan Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai, keruntuhan Terminal Pengangkutan Awam Kuala 
Berang, kebocoran Pusat Akuatik Batu Burok, keretakan Pusat latihan Antarabangsa (ITC) yang menjadi fakulti Baru Kolej Universiti Institiut Teknikal Tinggi Terengganu (TATIUC), kebocoran siling Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Terengganu dan pelbagai lagi.

"Kejadian keruntuhan dan kecacatan ini berlaku bukan secara kebetulan tetapi akibat kecuaian di semua peringkat dari proses tender hingga kelulusan pembangunannya. Kejadian ini mengancam keselamatan dan nyawa orang awam. Projek prasarana ini akan digunakan ramai orang awam dan perlu penyelesaian segera sebelum lebih banyak nyawa akan terkorban," kata beliau.

Abdul Rahman  menyeru kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas bagi menyiasat semua pembangunan projek prasarana sejak 1999 kerana mutu dan spesifikasi pambangunannya menjadi 
tandatanya.

No comments:

Post a Comment