Sunday, March 21, 2010

Rakyat jangan terus terpengaruh kenyataan Anwar - Pak Lah



KUALA LUMPUR 20 Mac- Rakyat negara ini diminta tidak terus terpengaruh dengan apa juga kenyataan yang dibuat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (gambar) berkata, rakyat juga perlu sentiasa berwaspada serta berhati-hati terhadap segala tindak-tanduk Anwar.
"Kita mesti tolak apa yang dirasakan tidak betul kerana kita tidak mahu berlaku keadaan porak-peranda dari apa yang dilakukan olehnya nanti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pohon Ilmu dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta melawat Taman Herba dan Taman Paku-Pakis di universiti itu di sini hari ini.
Abdullah berkata, apa yang didedahkan oleh ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Zahrain perlu dijadikan ingatan kepada semua pihak selain mengambil perhatian serius terhadapnya.
"Kalau apa yang dikatakan Zahrain bahawa Anwar mengggunakan pendekatan membohong untuk membawa perubahan maka itu sangat memalukan.
"Zahrain ialah seorang sahabat karib Anwar maka dia tentu tahu apa yang dikatakannya itu," katanya.
Sementara itu mengenai majlis pelancaran Pohon Ilmu dan Inovasi UKM iaitu menjadikan pokok sebagai simbol kecemerlangannya, Abdullah berkata, usaha universiti itu perlu dipuji dan dicontohi.
Beliau berkata, ia termasuk usaha UKM dalam mewujudkan Taman Herba dan Taman Paku-Pakis di sekitar kampus universiti itu.
Katanya, menanam pokok dan memastikan alam semula jadi sentiasa terpelihara bukan satu usaha yang sia-sia malah dituntut dalam agama Islam.

No comments:

Post a Comment