Monday, March 29, 2010

Tee Keat terima kekalahan dengan hati terbuka



KUALA LUMPUR 28 Mac – Datuk Seri Ong Tee Keat yang terlepas jawatan Presiden MCA kepada Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada pemilihan baru parti itu hari ini menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka.
Tee Keat yang juga Menteri Pengangkutan berkata, walaupun kalah jawatan tertinggi parti itu, beliau masih mempunyai tugas iaitu sebagai Ahli Parlimen Pandan.
“Adat bertanding ada yang menang, ada yang kalah. Jadi, semua pihak perlu menerima keputusan yang dibuat oleh perwakilan parti.
“Saya masih lagi Ahli Parlimen Pandan dan akan terus menjalankan tugas saya. Itu komitmen saya kepada rakyat yang mengundi saya dan komitmen itu tidak akan berubah berikutan keputusan ini,” katanya ketika ditemui selepas keputusan diumumkan Speaker, Datuk Yip Phooi Hong hari ini.
Mengenai jawatan Menteri Pengangkutan yang dipegangnya kini, Tee Keat berkata, keputusan mengenai perkara itu merupakan hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, semua pihak harus komited terhadap transformasi parti bagi memastikan MCA akan terus relevan.
“Saya harap mulai sekarang yang penting sekali parti kena maju ke depan di bawah pucuk pimpinan baru. Tak kisah siapa yang menerajui parti ini, transformasi tetap perlu menjadi agenda parti,” katanya yang menerajui MCA selama 17 bulan.

No comments:

Post a Comment