Friday, March 19, 2010

Terjerat dalam mainan politik PKR



Shafie Apdal ketika melawat Projek Lembu Fidlot di Inas, Johol, semalam.


KUALA PILAH 18 Mac - Pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bayan Lepas, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengenai rancangan 16 September memaparkan 'wajah sebenar' Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal memberitahu, pendedahan yang dibuat oleh bekas ahli PKR itu 'membuka pekung' dalam parti pembangkang tersebut.
Justeru katanya, ini jelas membuktikan parti itu kini terumbang-ambing berikutan keretakan yang berlaku, selain pendedahan oleh Zahrain.
"Inilah tindakan Anwar yang merancang pelbagai usaha, namun kita perlu sedar bahawa kebenaran akan muncul juga.
"Kita perlu tahu yang mendedahkan perkara itu bukan calang-calang pemimpin. Zahrain adalah bekas Pengerusi Perhubungan PKR dan juga Ahli Parlimen maknanya beliau ini mempunyai jawatan yang tinggi dalam parti itu satu ketika dahulu," katanya.
Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan di Projek Lembu Fidlot di Johol dekat sini yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Hassan Malek dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Izat Hasan.
Kata Shafie, sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman, Anwar sepatutnya perlu menerima hakikat dan membuat penjelasan melalui perbahasan, bukannya meninggalkan Sidang Dewan.
Beliau menegaskan, pendedahan Zahrain itu dibuat atas kerelaan beliau dan bukannya mainan politik UMNO.
"Ini bukan cakap orang UMNO, tetapi cakap kawannya dahulu. Anwar tuduh ini mainan politik UMNO, mana ada penglibatan kita di situ.
"Inilah hakikatnya, apabila dikritik dia (Anwar) tidak boleh terima tetapi apabila dia mengkritik dia mahu supaya perkara itu didengar, tidak bolehlah macam itu. Kita sebagai ahli politik harus terbuka dalam menerima kritikan," katanya.
Sementara itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Getah (RISDA) bercadang memperluaskan Projek Lembu Fidlot yang dilihat mampu menambah pendapatan golongan pekebun kecil miskin tegar.
Beliau berkata, projek berkenaan dilihat mempunyai potensi untuk dimajukan berikutan hasil yang memuaskan dan memberi pendapatan sampingan kepada golongan berkenaan.
"Dahulu kita memberi beberapa ekor lembu kepada golongan sasaran untuk memeliharanya sendiri, namun hasilnya tidak memuaskan kerana banyak ternakan didapati hilang atau mati atas pelbagai sebab.
''Namun kini dengan projek perintis menternak lembu secara berkelompok dan diuruskan oleh anak syarikat RISDA secara profesional, ia memberi hasil yang memberangsangkan," katanya

No comments:

Post a Comment