Wednesday, March 24, 2010

Zahrain mula terasa bahang dari dakwaannya



KUALA LUMPUR, 24 Mac: Usaha anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Ibrahim untuk menyusahkan pimpinan PKR nampaknya makan diri sendiri apabila beliau didakwa 'sudah kenyang baru melompat' dan beliau dikatakan membuat kenyataan 'bodo-bodo'.
Orang yang menyusahkan Zahrain di Parlimen tidak lain dari orang yang dituduhnya mahu melompat meninggalkan BN untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam projek 16 Septembernya.
Datuk Abdul Ghafur Salleh (BN-Kalabakan) dalam ucapannya meminta Zahrain menarik balik dakwaannya yang beliau adalah salah seorang yang hendak melompat parti menyertai PKR. Dia juga mendesak media menyiarkan kenyataannya secara besar-besaran sebagaimana media menyiarkan kenyataan yang dibuat Zahrain sebelum ini terhadapnya.
Dalam ucapannya seminggu lalu, Zahrain menyebut 10 nama yang akan meninggalkan BN untuk menyertai Anwar bagi menubuhkan kerajaan baru. Salah saorang dari mereka adalah Ghafur.
"Kenyataan anggota parlimen Bayan Baru bodo-bodo...," kata Ghafur yang berucap dalam keadaan marah kepada Zahrain.
Beliau mempertikaikan kenapa Zahrain hanya menyebut beberapa orang sahaja yang mahu melompat sedangkan yang diperlukan Anwar adalah 30 orang..
"Hanya beberapa orang sahaja disebut mahu lompat...mana dia sekolah...mana cukup. Kenapa tidak disenarai mereka yang ke Taiwan itu, saya tidak ke sana," katanya.
Ghafur berkata, mungkin umpan yang diberikan kepada mereka yang mahu melompat tidak cukup sebab itu mereka tidak melompat.
"Umpan tak cukup, jadi tak lompat, umpan untuk Bayan Baru besar, sebab itu dia lompat..sekarang dia sudah kenyang," kata Ghafur diikutikan dengan tepukan gemuruh dalam Dewan Rakyat.
Ghafur juga menolak dakwaan Zahrain kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai komunis berkata, mungkin dia melompat kerana tidak mendapat apa yang dikehendaki dari kerajaan Pulau Pinang.
Beliau juga mempertikaikan Zahrain kenapa baru sekarang melompat bukan dua tahun lalu.
"Dua tahun baru lompat, kenapa tak lompat awal...sekarang dah jadi bebas...mungkin kerana kocek dah penuh," kata Ghafur.
Ghafur turut mencadangkan agar Umno tidak menerima orang semacam ini jika dia memohon untuk menyertai parti itu.
"Kalau dia boleh gigit tangan ketua dia, dia tentu boleh gigit ketua kita nanti," kata Ghafur.
Ghafur juga berkata, kalau orang macam ini masuk Umno, orang yang ada dalam umno akan keluar.
Ghafur juga berkata, dia tidak akan melompat parti hanya kerana duit yang diberikan tetapi akan melompat jika tidak bersetuju dengan ketuanya.
Menurutnya, pada tahun 1985, PBS (Parti Bersatu Sabah) cuba membelinya untuk keluar parti.
"Tetapi saya tidak terima kerana kalau saya hendak keluar parti kerana tak percaya kepada pucuk pimpinan bukan kerana dibeli," kata Ghafur.

No comments:

Post a Comment