Sunday, April 11, 2010

SYARIKAT BERPANGKALAN DI ISRAEL DAPAT KONTRAK POLIS



Asiasoft, adalah syarikat yang didaftarkan di Singapura dan berpangkalan di Tel Aviv,adalah syarikat yang selama ini dibenarkan memasuki ibu pejabat Polis (PDRM) bagi menjalankan kerja-kerja pengkomputeran.
Hairan sungguh, hal seumpama itu boleh terjadi.
Amat dhaif rakyat Malaysia dan merasa betapa rapuhnya keselamatan negara dicerobohi. Siasatan hendaklah dijalankan untuk mengetahui bagaimana perkara seumpama ini berlaku, dan siapa yang meluluskan kontrak kepada syarikat berkenaan.
Pernyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini bahawa syarikat itu tidak lagi dibenarkan memasuki ibu pejabat PDRM mengesahkan segalanya bahawa memang hal itu berlaku.
Katanya, siasatan berhubung dakwaan itu telah dijalankan dan pihaknya tidak lagi membenarkan syarikat tersebut memasuki PDRM bagi menjalankan kerja-kerja pengkomputeran.
“Dah lama kita siasat... bila isu ini timbul balik dan didedahkan di Parlimen kita siasat lagi, malah kita juga telah menyekat kemasukan syarikat tersebut,” katanya.
Difahamkan siasatan berhubung isu tersebut pernah dijalankan polis selepas menerima laporan polis yang dibuat pada 14 Julai 2008 oleh seorang wartawan bebas Johari Ismail.
Kelmarin, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya terdapat perisik Israel di Bukit Aman.
Anwar dalam perbahasan di Dewan Rakyat berkata, beliau mempunyai dokumen bahawa perisik Israel mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui Asiasoft (M) Sdn Bhd, yang merupakan subkontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi PDRM.
Beliau mendakwa kehadiran dua bekas pegawai tentera Israel dalam syarikat itu disedari oleh pegawai tertinggi PDRM dan juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Menurutnya Syed Hamid telah diberi taklimat berhubung perkara itu pada 23 Nov 2008 di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
Dalam penjelasannya kepada Bernama hari ini, Musa mengingatkan semua ahli politik supaya tidak mempolitikkan isu keselamatan negara untuk menarik perhatian rakyat.
Beliau berkata, isu berkaitan keselamatan negara bukan satu isu yang boleh dipolitikkan untuk meraih sokongan rakyat kerana ia merupakan satu isu sensitif yang boleh mengancam kesejahteraan negara.
“Sebagai ahli politik sepatutnya mereka boleh bezakan yang mana isu boleh cakap dan yang mana tak boleh kerana ini melibatkan soal keselamatan negara.
“Sudah banyak kali kita ingatkan mereka dan sepatutnya mereka faham,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Johari dalam satu sidang media berkata pendedahan Anwar di Parlimen bertujuan menarik perhatian rakyat dengan cuba mempolitikkan isu keselamatan negara.
“Ini soal keselamatan negara jadi jangan politikkan isu ini kerana ia boleh menggugat kesejahteraan negara. Dia (Anwar) sanggup mengeluarkan isu lama untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan kesannya kepada negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment