Dalam tahun 60an yang lampau, ketika saya sedang bersyarah penuh semangat di dewan Sekolah Dairatul Maarif Al Wataniah Kepala Batas Seberang Perai, (sekolah kepunyaan Allah Yarham Datuk Hj Ahmad Badawi, ayahanda kepada Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi) atas tajuk “Islam itu tinggi” (Islam, Yukla Wala Yukla Alaih) Saya menghurai secara budak-budak hingus bahawa Islam itu tinggi, tiada ada yang lebih tinggi darinya.
Hampir lima ratus orang pelajar yang mendengar. Begitu setiap Khamis, jam 9 pagi kami di pilih membuat syarahan dengan tajuk tertentu, selama setengah jam mesti berpidato.
Mudir Dairatul Maarif, Tuan Guru Hj. Ahmad Badawi dan guru-guru lain sedang duduk dalam bilik untuk mendengar kami pidato. Tuan Guru Hj. Ahmad Badawi bermisai melentang, mata terbeliak. Cukup garang. Kami semua takut. Tapi sebenarnya dia guru yang baik, berhati lembut.
Entah apa salah saya, sama ada bacaan atau tajiwd saya atau tafsir saya atau makhraj saya atau saya mirip kepada semangat Pas, tiba-tiba Tuan Guru Hj Ahmad Badawi keluar dari bilik lalu merampas pembesar suara yang saya pegang. Semua pelajar tersentot, terkejut beruk. Saya sendiri naik berpeluh. Mampueh saya.
“Islam itu tinggi mana,haaa? Tinggi pokok nyok (kelapa) ke? Tinggi mana?” jerkah Tuan Guru Hj Ahmad Badawi. Urat di bawah lehernya timbul.
Saya tergamam. Kalau tahi nak keluar tentu tinggal secamca. Kecut habis.
Maka Tuan Guru Hj Ahmad Badawi bersyarah dengan lantang, bersemangat menghurai ayat yang saja baca. Yang saya masih ingat ialah kata-katanya berulang kali; siasah syariyah. Assiasi…maqasid, Umno tidak Pas pun tidak.
Maka sejak hari itu saya sangat yakin bahawa Islam itu tinggi. Tidak ada yang lebih tinggi darinya. Menurut Tuan Guru saya ini, dalam semua bidang, tidak ada yang mampu mengatasinya, apa lagi tentang hukum hakam, malah bahasa Al Qur`an itu sendiri tiada siapa yang boleh tanding.
Tapi saya hairan pula, kalau sudah Islam itu tinggi, undang-undang itu tinggi, kenapa Tuan Guru saya ini tidak masuk Pas ketika itu, sebaliknya dia masuk Umno dan berkedudukan pula?
Lama saya pendam tentang Islam itu tinggi dan tidak pernah berubah sehinggalah menjelang bulan April 2010 ini tiba-tiba saya diubah (di...bukan ber...) dan mengajar pengertian bahawa sebenarnya Islam itu tidaklah tinggi.
Saya teringat jerkahan Tuan Guru saya; “Tinggi? Tinggi mana? Tinggi pokok nyok ke?”
Jika Tuan Guru saya itu masih hidup kelmarin, akan saya terkam ke rumahnya dan saya akan jawab jerkahannya; “Memang benar Islam itu tidak tinggi pun, Tuan Guru! Sekarang sudah jelas, Islam tidak tinggi pun!”
Memang pun. Yang mendakwa Islam itu tinggi bukan Islam saja tetapi umatnya juga.
Hari ini apabila ada sesiapa saja yang mengatakan Islam itu ‘Yukla’ atau tertinggi, itu adalah pembohong.
Takkan kata begini jadi kafir? Saya tak kata Islam itu rendah tapi umat Islam yang pembohong itulah kata Islam itu rendah, terumata umat Melayu yang terdiri dari fatawa fatawi, mutawa mutawi, ulama ulami yang duduk di sebelah sana bukan di sini.
Tinggi apanya kalau sejak dulu Islam disektor-sektor, di juzuk-juzuk dengan jabatan dan pejabat. Tinggi apanya kalau bertahun-tahun lamanya, ulama bertukar ganti, tapi syaraknya hanya ada dalam kitab? Tinggi apanya kalau hukum dijatuhkan gedebuk macam nangka masak, tiba-tiba bila diambil, buah itu busuk meneneh. Tinggi apakah dalam masalah hukum, mahkamah yang Islam kena tunduk koro kepada mahkamah bukan Islam? Tinggi apanya kalau junjung Qur`an tapi tak junjung ajarannya. Tinggi apanya kalau undang-undang tertinggi hendak dijatuhkan ke atas umat Islam, dikelencong ke undang-undang; permudah, ehsan, kasihan, pindaan dengan alasan yang dikeluarkan oleh pemetua-pemetua setelah hukuman itu dihempap ke atas pundak mereka.
Tinggi apanya kalau sudah ditetapkan oleh mahkamah syariah yang boleh gagah jalan kuasa Islam, tiba-tiba diubah hukum hanya dengan kuasa istilah. Dan yang lebih saya meraung, kalau boleh mahu kerobek gali kubur Tuan Guru hendak memberi tahu; Ustaz, tinggi apakah namanya kalau hukum lima kilo tiba-tiba diubah jadi setengah kilo. Ustaz, tinggi apakah namanya, undang-undang dan hukum yang dipersetujui, yang dibahas oleh semua ulama dari segenap ayat dan sunah, dari segenap kitab fekah dan tafsir dan hadis dan ijmak tiba-tiba disentot dan dicabut bulu pahatnya lalu Islam itu menjadi seumpama ayam dogiang yang terkepak-kepak di atas selut.
Tinggi apanya kalau hukum Islam sama dengan hukum sapu sampah tepi jalan!
Bukan payahpun Islam itu direndah dan tidak mahu mengakui tingginya. Ia dilakukan dari kalangan umat Islam sendiri. Waooo, kalau orang lain buat onar tentang Islam, macam lukis karton Nabi Muhamad, bukan main melenting kita. Tapi bila Islam itu dicabut bulu pahatnya oleh umat Islam sendiri, timbullah berbagai daleh helah kononnya, dari segi bahasa, bla...bla...bla. Dari segi pengertian istilah hukum, sebutan buluh kasap itu tak betul, sebenarnya qazaf.
Kenapa, kenapa hal ini boleh berlaku? Jikalah Islam itu tinggi, sepatutnya jika sesuatu hukuman itu dijatuhkan, jika hendak diubah, ia mestilah lebih wibawa, martabat, memacu, upaya, bukan belok turun kepada yang lebih rendah seperti batal wuduk kerana bersetubuh diubah kepada batal wuduk hanya kerana kentut.
Satu perkara yang sangat mustahak sekarang ialah bagaimana kita umat Islam terutama mereka yang berkuasa dan para ulama yang masin air liur dalam kerajaan ialah menggilap dan manik taraf imej undang-undang kepada tahap yang sepatutnya.
Tugas kita sekarang, bukan saja mampu melaksanakan hukum yang sudah sedia ada dalam undang-undang, tetapi mencerna imej keyakinan tentang hukuman itu sendiri menjadi wibawa.
Satu contoh yang paling kecil misalnya; siapa peduli hukuman mahkamah syariah apabila waran tangkap pesalah memukul isteri? Siapa yang menggeletar apabila waran dari mahkamah syariah minta potong gaji saraan untuk anak atau nafkah. Malah denda dan tuntutan bernilai juta-juta pun, yang kena saman itu masih tersenyum.
Bukankah itu imej? Bukanlah itu satu nilai yang rendah dianggap oleh kita sendiri, maka apatah pula jika ada pihak lain yang merombak atau mengubah hukum lalu menjadikan pihak lain terpaksa tunduk kerunas kuku.
Tuan Guru, maaflah murid tua ini. Hukum Islam itu sebenarnya tidak tinggi . Kita cuma merak buih!
-Tersiar dalam ruangan Kolum Tepi, Harakah 12-15 April 2010.
No comments:
Post a Comment