Thursday, May 13, 2010

13 Mei 1969 antara fakta dan kenyataan



Hari ini 13 Mei 2010. Pada tarikh ini tahun 1969 lalu, berlaku rusuhan antara kaum. Ramai yang tidak membaca sejarah peristiwa berdarah itu. Bagi yang masih tidak mempunyai maklumat tentang peristiwa 13 Mei 1969 yang tidak mahu kita lihat berlaku lagi, berikut ialah beberapa artikel yang saya jumpai dan saya salin untuk memberi kefahaman kepada yang tidak mempunyai maklumat mengenai peristiwa itu. Harap baca apa yang saya boldkan dalam kenyataan Akhbar oleh Hajjah Marina Yusoff di bawah:

Ketika berucap pada Majlis Menyambut Kepulangan Lim Guan Eng di Bukit Mertajam 29 September 1999 di Dewan Moral Uplifting Society yang dirakam Pemuda Umno, Naib Presiden Keadilan ketika itu, Marina Yusoff dilaporkan berkata:

"Saya nak cakap pada orang Melayu, Cina, India, punca 13 Mei dimulakan oleh Umno. Masa itu dirancang oleh pemimpin-pemimpin Umno dan Selangor diketuai oleh Datuk Harun (Idris).

"Jadi orang Cina jangan ingat dia sokong Barisan (Nasional) itu bagus kerana dulu orang Umno dalam Barisan yang membunuh orang Cina."



Dalam suatu wawancara pada April 1979 menjelang ulang tahun ke-10 peristiwa 13 Mei (Nadi Insan, 1 Mei 1979), jelas Tunku Abdul Rahman menganggap bahawa Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein telah mengkhianatinya (dikutip daripada prakata buku 13 Mei: Sebelum dan Selepas, 1969 terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd - gambar di sebelah adalah buku asal terbitan Utusan).

Dalam bukunya May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969, Kuala Lumpur, Dr Kua Kia Soong mendakwa, rusuhan tersebut adalah satu pakatan yang dirancangkan oleh kelas pemerintah kapitalis menentang kelas aristokrat yang dipimpini Tunku. Beliau seterusnya mendakwa, gerakan yang mahu menjatuhkan kepimpinan Tunku diketuai oleh timbalannya, Tun Abdul Razak.

Apa yang menjadi persoalan ialah kenapakah Marina dan Dr Kua tidak dibicarakan habis-habisan serta dijatuhkan apa jua hukuman berikutan dakwaan mereka itu? Apakah yang dibimbangi oleh pihak yang mahu mendakwa? (Sila klik imej Utusan Malaysia di atas untuk besarkan) Kenyataan Akhbar oleh Hajjah Marina Yusoff

Sedar dan Besarlah Hishammuddin

Saya merujuk kenyataan di dalam akhbar New Straits Tsimes bertarikh Rabu, 6 Oktober 1999 serta laporan polis yang dibuat ke atas saya oleh Pemangku Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein yang merujuk kepada ucapan yang dibuat oleh saya di Pulau Pinang pada 29 September 1999.

Laporan akhbar New Straits Times pada 6hb Oktober 1999 dan media yang di-kuasai Kerajaan , termasuk Utusan Malaysia bertarikh 11 hb dan 12 hb Oktober 1999, adalah salah, mengelirukan dan juga berniat jahat serta bertujuan untuk menimbulkan hubungan buruk antara kaum. Hakikat bahawa pembohongan buruk ini yang telah menyebabkan Datuk Harun terlantar di hospital adalah suatu perkara yang amat serius dan seandainya berlaku sesuatu kepada Datuk Harun, saya memegang pihak UMNOlah yang bertanggungjawab, terutamanya Datuk
Hishammuddin dan pasukan pemuda UMNOnya.



Saya amat memandang berat perkara ini dan tindakan yang tidak bertanggungjawab dalam memutar –belitkan keadaan sehingga menjadikannya suatu pembohongan jahat yang berhasrat untuk menimbulkan hubungan buruk antara saya dan Datuk Harun. Datuk Harun adalah pelanggan saya dalam satu kes undang-undang di mana Kerajaan dan pihak berkuasa telah gagal melaksanakan keadilan. Ini berlaku apabila beliau hampir tamat menjalani hukuman penjara dan hampir dibebaskan, pihak berkuasa dengan sengaja dan secara tidak sah mengubah dokumen penjara dengan memadamkan perkataan “serentak” (concurrent) dan menggantikannya dengan perkataan “berturutan” (consecutive), dengan itu memanjangkan hukuman penjaranya. Ini mengakibatkan ketidakadilan terhadap Datuk Harun.

Seperti yang diketahui umum, Datuk Harun pada pertengahan tujuh-puluhan, begitu berkuasa dan popular dan mungkin menjadi calun untuk Perdana Menteri. Pendakwaan memilih telah dilakukan terhadapnya untuk menjadikannya mangsa dan menghapuskan kareer politiknya, seperti yang berlaku terhdapa Datuk Seri Anwar.

Saya juga berpendapat kenyataan Datuk Seri Dr Mahathir sekiranya Barisan Nasional tidak memenangi Pilihanraya Umum nanti akan berlaku tumpahan darah seperti peristiwa 13 Mei sebagai ugutan terhadap masyarakat Cina dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Hasutan serta satu ancaman keselamatan terhadap negara.

Dengan menamakan saya sebagai pembelot kerana berani menyatakan kebenaran terhadap salah laku UMNO adalah amat tidak patut. Pembelot sebenar adalah Datuk Hishammuddin sendiri yang belot kepada perjuangan politik bapa serta datuknya, Datuk Onn bin Jaafar. Bapanya, Tun Hussein Onn telah disalahkan oleh Dr Mahthir yang dalam antara lain skandal Maminco. Ini telah menghancurkan hatinya dan beliau menyesali tindakannya melantik Dr Mahathir sebagai penggantinya dan telah cuba sedaya upayanya untuk membetulkan kesilapannya. Bahkan semasa beliau meninggal dunia beliau tidak menyertai UMNO Baru di bawah kepimpinan Dr Mahathir. Dalam masa perjuangannya yang diteruskan dan dilaksanakan oleh Tengku Razaleigh, Datuk Hishammuddin masih terlalu kecil dan mentah untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, terutamanya rusuhan 13 Mei.

Saya bertugas di Kuala Lumpur sebagai Peguamcara Jabatan, di Jabatan Amanah Raya pada 13 Mei 1969. Pada pagi itu beberapa orang termasuk dari Pemuda UMNO telah datang menemui saya dan menyuruh saya pulang secepat mungkin. Mereka memberitahu saya bahawa rusuhan akan berlaku oleh kerana semua pemuda Melayu telah dipanggil dan berhimpun secara besar-besaran di Kampong Baru. Disebabkan hasutan dari parti pembangkang yang menang, pemuda Melayu telah merusuh.

Sungguhpun UMNO mungkin tidak menjangka peristiwa tersebut akan mengakibatkan pembunuhan dan tumpah darah, merekalah yang seharusnya bertanggungjawab terhadap peristiwa ini. Pihak yang berkuasa terutamanya pihak Polis sedar apa yang berlaku oleh kerana mereka telah mengeluarkan permit kepada UMNO untuk mengadakan perhimpunan dan perarakan di bandar. Dengan yang demikian pihak polis juga adalah sama bertanggungjawab kerana gagal mengawal keadaan.

Sekiranya UMNO Baru dan sayap Pemudanya terus menyalahgunakan undang-undang dan proses Kehakiman untuk kepentingan politik mereka dan menekan sesiapa yang menentang mereka, pada masa yang bersesuaian, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Hishammuddin serta mereka yang bertanggungjawab terhadap pembohongan dan kenyataan palsu serta aduan polis yang palsu terhadap saya serta akibat dan kesan dari tindakan tidak bertanggungjawab mereka terhadap orang lain, seperti Datuk Harun.

Hajjah Marina Yusoff
Naib Presiden,
Parti Keadilan Nasional
11 Oktober 1999

Ketika rusuhan antara kaum itu bermaharajalela terutamanya di Kuala Lumpur, apa terjadi di Kelantan? Berikut ialah sebahagian dari penulisan mengenai 13 Mei 1969 di Kelantan:

Ketika itu, ketegangan akibat rasukan perkauman menjalar ke seluruh negara. Namun semua itu hampir tidak berlaku di Kelantan. Kalau ada pun, cetusan itu cepat-cepat dipadamkan oleh kerajaan PAS di Kelantan ketika itu.

Tidak dinafikan bahang rusuhan kaum itu mendorong kira-kira 50 hingga 60 orang pemuda berkumpul di atas Jambatan Yahya Petra. Menurut bekas Setiausaha Agung PAS yang juga pembantu kanan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Ustaz Salahuddin Abdullah, dengan penuh semangat pemuda-pemuda itu dibakar dengan kata-kata "jangan biar orang-orang Melayu di Selangor dianiayai dan tak ada pembelaan kita".

Salahuddin mendakwa, pemuda-pemuda itu, termasuk dari Umno dan PAS, diapi-apikan beberapa pemimpin Umno Kelantan.

Mendengar kekecohan itu, Allahyarham Tan Sri Asri Muda yang ketika itu menjadi Menteri Besar Kelantan meminta Salahuddin dan beberapa yang lain pergi memujuk para pemuda itu. Setelah dipujuk, mereka dibawa ke kediaman Menteri Besar yang terkenal dengan panggilan JKR10.

Ketika di bawa ke JKR10, kira-kira 100 orang berhimpun termasuk pemuda-pemuda yang dipujuk itu. "Mereka dijamu dengan mee dan nasi lemak," kata Salahuddin.

Asri menjelaskan kepada mereka bahawa PAS yang ketika itu memerintah Kelantan berjuang berdasarkan landasan Islam. PAS, katanya, sentiasa tunduk kepada ajaran Islam. Beliau menasihatkan mereka supaya berwaspada dan jangan terjebak dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam termasuk hasutan rusuhan perkauman.

Ketika pertemuan itu berlangsung, seorang kontraktor yang banyak melaksanakan projek-projek membuat jalan di Kelantan tanpa sebarang bayaran awal dari kerajaan negeri ketika itu (dia buat dahulu, kira hutanglah tu), Chua Say Paw, datang le JKR10. Sebelum datang ke kediaman Menteri Besar itu, beliau tidak tahu-menahu tentang kejadian yang berlaku dan datang kerana urusan lain.

Asri terus memanggil beliau ke hadapan dan memberitahu jika berlaku kejadian menganiaya kaum Cina di mana-mana tempat di Kelantan, beliau akan pegang penghulu tempat berkenaan. Menteri Besar itu tak mahu dengar apa-apa berlaku.

Sambil memandang Chua yang dianggap tauke besar di Kelantan ketika itu, Asri juga memberi jaminan tidak ada apa-apa yang akan berlaku ke atas kaum Cina di Kelantan di mana PAS memerintah.

Selepas itu, kehidupan seharian di Kelantan berjalan seperti biasa.

Benarlah kata Menteri Besar Kelantan kini, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sepanjang rusuhan perkauman pada tahun 1969 itu, "bulu roma orang Cina pun tak gugur di Kelantan"

No comments:

Post a Comment