Saturday, May 22, 2010

BN boleh tumbang jika tidak selesai isu setempat di Sabah - Maximus



Dr. Maximus J.Ongkili (tiga kanan) bersama beberapa pemandu persatuan teksi Bandaraya Kota Kinabalu menunjukkan isyarat 1Malaysia semasa melancarkan Promosi Kenderaan Karnival Malaysia Inovatif 2010 Zon Sabah di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 21 Mei - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah akan tumbang pada pilihan raya umum akan datang jika isu-isu setempat tidak ditangani dengan segera mulai sekarang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, antara isu yang mendesak dan perlu diselesaikan segera adalah berkaitan tanah.
"Isu tanah sangat relevan di Sabah dan akan menumbangkan kita kalau kerajaan tidak sensitif dan melakukan tindakan cepat.
"Misalnya, kita tengok isu tanah semasa pilihan raya kecil di Sibu, Sarawak, baru-baru ini, walaupun beberapa keputusan telah dibuat bagi menyelesaikannya seperti pengumuman premium baru tanah di Sarawak, tetapi semua itu sudah terlambat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) Zon Sabah di perkarangan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini hari ini.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, semua pihak terutama parti komponen BN perlu mengikut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu pemimpin bekerja keras dengan menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.
Menurutnya, BN Sabah diingatkan supaya tidak hanya memberi tumpuan untuk memastikan undi di kawasan bandar tidak hilang dan mengambil mudah pengundi luar bandar yang dikatakan penyokong tegar kerajaan.
Mengenai dakwaan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang mendakwa BN Sabah kini mengalami krisis kepimpinan dan tidak lagi akan menjadi simpanan tetap BN, beliau berkata, kenyataan itu adalah keterlaluan.
Katanya, perhubungan antara parti komponen masih kukuh begitu juga dengan sokongan ahli parti di peringkat akar umbi tetapi tidak menafikan memang terdapat beberapa kelemahan yang masih boleh dibaiki.

No comments:

Post a Comment