Sunday, May 2, 2010

'Pastikan Limbang hak kita'





PADANG RENGAS 1 Mei - Malaysia tetap memastikan kawasan Limbang di Sarawak kekal sebagai hak milik negara ini walaupun konsesi Blok L dan Blok M menjadi milik Brunei dalam perjanjian persempadanan dengan Brunei pada Mac 2009.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ini kerana Malaysia tidak bodoh hendak membuat sesuatu yang merugikan dalam perjanjian tersebut.
Katanya, perjanjian tersebut jelas menyatakan Malaysia mempunyai bahagian dan mesti ada kerjasama dalam membangunkan bersama sumber minyak dan gas di kawasan itu.
"Perkara itu telah dijelaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, bahawa mesti ada kerjasama dan Malaysia ada bahagian dalam membangunkan sumber tersebut secara komersial Blok L dan Blok M," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen dan Karnival Rakyat Semarak Semangat 1Malaysia Parlimen Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak dekat sini.
Mohamed Nazri diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta penjelasan Wisma Putra berhubung status dua kawasan pengeluaran minyak bernilai RM320 bilion yang kini dikatakan menjadi milik Brunei.
Bagaimanapun, Abdullah semalam berkata, perjanjian berhubung tuntutan dan pertindihan sempadan Limbang antara kerajaan Malaysia dan Brunei yang ditandatangani pada 16 Mac 2009 tidak merugikan Malaysia dari segi sumber pengeluaran minyak di kawasan itu.
Sehubungan itu, Mohamed Nazri berkata, Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal Limbang kerana ia merupakan sebahagian wilayah negara ini.
"Duit banyak mana pun boleh habis, tetapi tanah boleh kekal selama-lamanya," katanya.
Ditanya mengenai laporan bahawa Brunei telah membuat penafian bersetuju menyerahkan Limbang, Mohamed Nazri berkata, Brunei boleh membuat penafian itu, tetapi hakikatnya, Limbang tetap hak milik Malaysia.
"Kita akan pertahankan Limbang dan negara lain boleh kata apa pun, Limbang adalah hak Malaysia walaupun ada pihak yang akan mempertikaikan keputusan melepaskan Blok L dan Blok M itu," tegasnya.
Dalam perkembangan lain Nazri meminta polis menyiasat kandungan ucapan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang didakwa berbaur hasutan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
Jika terbukti, Mohammad Nizar boleh didakwa mengikut Akta Hasutan kerana cuba merosakkan perpaduan rakyat di negara ini katanya.

No comments:

Post a Comment