Pelantikan Ezam: Peluang dedah helah Anwar
PULAU PINANG 29 April - Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) percaya pelantikan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Noor sebagai senator dapat menyediakan platform kepada bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mendedahkan segala tipu muslihat Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar berkata, sebagai penggerak utama kumpulan gerakan reformasi pada 1998, Ezam mempunyai ramai pengikut yang telah 'masak' dengan perjuangan PKR yang lebih menumpukan kepentingan peribadi daripada keperluan rakyat.
"Dengan pelantikan ini, dapatlah suara akar umbi Reformis lebih lantang kedengaran menegak keadilan di semua aspek kehidupan untuk rakyat dan negara yang kita cintai.
"Reformis mengucapkan syabas kepada Ezam di atas pendiriannya yang teguh selama ini walaupun diasak dengan pelbagai tohmahan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikirimkan kepada Utusan Malaysia menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.
Ezam merupakan antara empat individu yang akan dilantik sebagai ahli Dewan Negara selain Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel; Pengerusi Eksekutif Rahim & Co., Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh, Noriah Mahat.
Mereka akan mengangkat sumpah jawatan untuk tempoh tiga tahun di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Isnin ini.
Menurut Ramlan, pihaknya berharap Ezam akan dapat menjalankan tanggungjawab dengan berkesan dan bijaksana.
Pada perkembangan lain, beliau memberitahu, Reformis akan membantu jentera kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu bulan depan.
"Ini adalah penampilan kali ketiga Reformis selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dan Parlimen Hulu Selangor.
"Sudah menjadi tugas Reformis untuk menyedarkan rakyat mengenai perjuangan pakatan pembangkang yang penuh tipu muslihat demi memenuhi nafsu segelintir pemimpin mereka," ujarnya.
No comments:
Post a Comment