Sunday, May 2, 2010

Seruan menjadi pelapor rasuah






APABILA Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) menggariskan rasuah sebagai salah satu teras utama yang harus diperangi, ia secara tidak langsung mempamer sisi gelap sektor perkhidmatan awam yang tidak pernah lekang dengan imej rasuah di pelbagai peringkat.
Peletakan Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada jurusan NKRA tersebut jelas menunjukkan kerajaan mempunyai sasaran khusus untuk mengukur usaha dan pencapaian dalam memerangi gejala itu untuk satu tempoh masa yang dijanjikan.
Namun, apabila kerajaan komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan KPI, adakah rakyat bersedia untuk bersama menggembleng tenaga dan usaha bagi merealisasikan hasrat itu?
Kepincangan dalam organisasi barangkali wujud hanya disebabkan sedikit individu yang menjadi racun kepada pembangunan organisasi secara keseluruhan. Bukan sahaja rasuah, tetapi produktiviti dan kemahiran yang tidak mencapai kualiti yang diharapkan.
Lalu apakah formula terbaik yang harus digabungkan bagi mengembalikan imej penjawat awam yang bukan sahaja bebas rasuah, tetapi pada masa sama mempunyai kredibiliti dan kualiti yang mampu menganjak negara ke satu tahap menghampiri pencapaian negara maju?
Sudah pasti kesemua hasrat ini perlu melibatkan komitmen yang mendalam dan tuntutan yang besar daripada keseluruhan penjawat awam bagi melaksanakan sesuatu yang betul walaupun sukar.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berkata, imej perkhidmatan awam sudah lama tercemar dengan gejala rasuah membabitkan penjawat di pelbagai peringkat.
"Bila sebut sahaja rasuah, masyarakat akan fokus kepada perkhidmatan awam seolah-olah semua aktiviti rasuah yang berlaku membabitkan sektor perkhidmatan awam.
"Di sana sini media melaporkan kegiatan rasuah dan individu-individu dalam perkhidmatan awam yang ditangkap tetapi individu yang memberi rasuah lepas begitu sahaja," katanya.

RASUAH mencemarkan imej penjawat awam sejak sekian lama. - Gambar hiasan


Menurut Omar, beliau tidak mahu sektor perkhidmatan awam dicap sebagai perasuah dan mahu semua pihak menggembleng usaha bagi memulihkan imej sektor berkenaan daripada terus tercemar.
"Saya menyeru semua penjawat awam supaya sama-sama memerangi rasuah dengan menjadi pelapor rasuah. Sekiranya penjawat awam bekerjasama sudah pasti gejala ini dapat diperangi dengan lebih berkesan.
"Sempena Hari Pekerja 2010, jadikan ia sebagai era baru bagi meletakkan ranking rasuah paling rendah di dalam sektor perkhidmatan awam di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya. Tahun ini sambutan Hari Pekerja tahun ini memilih tema, Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi.
Tambah Omar, beliau mahu melihat kadar rasuah menurun sehingga 20 peratus pada 31 Disember ini selepas tiga tahun berturut-turut menunjukkan perubahan positif kadar rasuah dalam perkhidmatan awam.
"Sejak tiga tahun kebelakangan ini kadar rasuah telah turun pada kadar yang memberangsangkan dan saya mengharapkan perkembangan berterusan dapat dilihat sehingga tahun 2010 berakhir.
"Cuepacs juga menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melancarkan perang rasuah hingga ke akar umbi," katanya.
Dalam pada itu Cuepacs tidak pernah menutup ruang rundingan bagi menyampaikan hasrat dan menyuarakan permasalahan penjawat awam kepada pihak kerajaan bagi mencari penyelesaian terbaik.
"Cuepacs sentiasa boleh berjumpa dengan pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah penjawat awam tetapi cepat atau lambat ia tertakhluk kepada keadaan ekonomi semasa.
"Sekiranya ekonomi bagus, tidak berlaku ketirisan dan penjawat awam menunjukkan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan, sudah pasti permasalahan-permasalahan itu akan didengar oleh kerajaan," katanya.
PENERIMA dan pemberi rasuah wajar diperangi habis-habisan.


Gaji minimum
Pendapat itu turut disokong oleh Presiden Persatuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan yang mahu penjawat di sektor awam dan swasta menyokong model ekonomi baru Malaysia yang berteraskan peningkatan produktiviti pekerja sekali gus meningkatkan tahap pendapatan mereka.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan menetapkan gaji baru yang tinggi tanpa melihat kepada peningkatan prestasi dan produktiviti pekerja, ia ibarat resipi kegagalan kepada sesebuah organisasi.
"Peningkatan pendapatan pekerja mestilah seimbang dengan peningkatan produktiviti dan ia tidak akan berlaku tanpa perubahan cara bekerja dan peningkatan kemahiran yang pelbagai sebagaimana dicapai negara-negara maju.
"Justeru, saya berharap kesatuan pekerja mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran melalui pensijilan oleh pihak kerajaan supaya mereka yang berkelayakan mendapat imbuhan yang sewajarnya," jelasnya.
Katanya lagi, perubahan-perubahan berkenaan perlu supaya pekerja di Malaysia tidak ketinggalan jauh jika dibandingkan dengan negara-negara maju.
"Singapura mencapai produktiviti 3.8 kali ganda berbanding Malaysia dan kita juga mensasarkan untuk memenuhi hasrat kerajaan untuk pastikan pendapatan perkapita sebanyak RM25,000 setahun kini kepada RM48,000 pada tahun 2020.
"Namun, penilaian harus dilihat di kedua-dua belah pihak dan tidak hanya menumpu kepada pendapatan tanpa melihat aspek daya saing di kalangan penjawat awam dan swasta," katanya.
Berhubung perkara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, perjuangan MTUC belum selesai dan akan meneruskan tuntutan-tuntutan kepada pihak kerajaan iaitu kadar gaji minimum, tabung pekerja yang diberhentikan, umur tamat tempoh perkhidmatan dan tempoh cuti bersalin.
"MTUC masih meneruskan agenda-agenda yang tertangguh sekian lama iaitu menuntut gaji minimum sebanyak RM900 dan elaun gaya hidup sebanyak RM300. Tetapi rombakan gaji tidak bermaksud mereka yang sudah melepasi gaji RM900 perlu kembali kepada jumlah gaji ini.
"Selain itu, MTUC juga terus memperjuangkan tabung untuk membantu mereka yang diberhentikan daripada perkhidmatan atas faktor ekonomi supaya mereka dibantu sehingga mendapat pekerjaan lain," katanya.

SATU garis panduan khusus perlu dimeterai antara pekerja dan majikan berhubung hak-hak mereka.


Di samping itu, umur 60 tahun dilihat munasabah untuk tamat dalam perkhidmatan berbanding 55 tahun ketika ini ekoran peningkatan jangka hayat iaitu 72 tahun bagi lelaki dan 76 tahun perempuan.
Hak pekerja
Setiausaha kepada Pengerusi Affin Holdings Berhad, Tiny Azleen Yahaya, 32, berkata, meskipun terdapat Akta Kerja 1955 yang memberi garis panduan tentang hak dan pampasan pekerja, tetapi ia tidak merangkumi keseluruhan peringkat pekerja.
"Perlu satu garis panduan khusus yang perlu dimeterai antara majikan dan pekerja tentang hak, peruntukan, faedah, manfaat, pampasan serta perlindungan setiap pekerja.
"Selain daripada faktor kewangan dan manfaat lain, hak pekerja dari segi lain-lain kemudahan juga amat perlu dititik beratkan. Antaranya caruman KWSP, Perkeso, perlindungan insurans dan pengekalan kedudukan kerja itu sendiri," katanya.
Sempena Hari Pekerja 2010 katanya, dia berharap pekerja dan majikan tahu tanggungjawab masing-masing bukan sahaja bagi memastikan keuntungan kepada pihak sendiri malah juga kepada kerajaan dan kestabilan ekonomi negara.
"Kedudukan ekonomi yang stabil pasti dapat membantu memberi kesejahteraan kepada masyarakat dan kemajuan kepada negara," katanya.
Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datin Romaizah Abdul Kadir, 34, pula berkata, pekerja meluluskan infrastruktur dan persekitaran yang kondusif sebagai galakan untuk meningkatkan produktiviti dan prestasi mereka.

PENINGKATAN pendapatan pekerja mestilah seimbang dengan peningkatan produktiviti. - Gambar hiasan


"Sebagai pekerja dalam sektor awam saya berharap untuk dapat bekerja dengan lebih efisien melalui sistem organisasi yang lebih teratur dan meyakinkan masyarakat.
"Khasnya dalam gerakan koperasi, kami penjawat awam serius untuk membantu rakyat dalam pembangunan sosio-ekonomi melalui gerakan koperasi," katanya.
Tambahnya, dia mahu kehadirannya dapat menyumbang kepada pembangunan organisasi dan klien serta dihargai majikan, kerana dari situlah datangnya kepuasan bekerja.
Pegawai Perhubungan Industri, Mahadi Sibon, 33 pula berpendapat, pekerja di Malaysia masih dianggap bertuah kerana tidak begitu terkena tempias krisis ekonomi tetapi masih banyak perkara yang perlu diperjuangkan.
"Kerajaan harus mengambil berat hak pekerja dari segi perlindungan gangguan seksual di tempat kerja, hak gaji minimum dan hak berpersatuan.
"Saya juga berharap sempena Hari Pekerja 2010 semua pekerja di Malaysia dapat meningkatkan produktiviti dan menyokong model ekonomi baru yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment