Saturday, June 26, 2010

Elak politikkan agama


IPOH 25 Jun - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) berkata, Islam tidak menghalang ulama menyertai parti politik tetapi menolak keras ulama mempolitikkan agama untuk kepentingan parti.
Menurut beliau, tindakan sesetengah ulama yang sanggup melakukan apa sahaja atau mempraktikkan kaedah "matlamat menghalalkan cara" adalah sesuatu yang jelas lari daripada keendak Islam itu sendiri.
"Tidak salah kalau ulama menyertai parti politik, cuma janganlah profesion ulama itu dipolitikkan. Maknanya jangan menggunakan kedudukan mereka untuk buat atau keluarkan kenyataan sesuka hati.
"Sebaik-baiknya tugas ulama adalah untuk menjadi kumpulan penasihat, penegur dan pengawal kepada negara dan masyarakat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, seramai 40 ulama berkelulusan ijazah Doktor Falsafah (PhD) akan menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur malam ini.
Bekas Menteri Besar Perlis itu memberitahu, perkara berkenaan dimaklumkan sendiri oleh kumpulan ulama berkenaan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan mereka di ibu negara baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Harussani berkata, beliau tidak melihat penyertaan beramai-ramai ulama ke dalam UMNO seperti yang diuar-uarkan akan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.
Ini kerana katanya, masyarakat semakin faham dengan suasana politik di negara ini dan dapat menilai sesuatu itu dengan baik.
"Saya tidak nampak mengapa rakyat akan jadi keliru kerana dalam Pas pun ada ulama. Cuma macam dijelaskan tadi, yang penting menjalankan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin," katanya.
Sementara itu, ditanya adakah beliau berminat untuk menyertai mana-mana parti politik jika ditawarkan, kata Harussani:
"Saya lebih suka duduk atas pagar. Saya tidak akan masuk mana-mana parti supaya saya boleh tegur mana-mana pihak yang perlu ditegur. Saya hanya masuk 'parti Allah'."

No comments:

Post a Comment