Saturday, June 26, 2010

Zamihan buat laporan polis


KUALA LUMPUR 25 Jun - Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin hari ini membuat laporan polis mengenai kebocoran maklumat dalam satu taklimat isu keselamatan negara, kepada media baru-baru ini.
Pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu membuat laporan berkenaan di Balai Polis Bandar Baru Bangi dekat sini pada pukul 5.45 petang ini.
Menurut Zamihan, laporan tersebut dibuat setelah pembentangan taklimatnya mengenai militan agama di Hotel Pan Pacific Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu, disalahtafsirkan.
Taklimat tersebut disampaikan beliau kepada menteri berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan naib canselor institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari seluruh negara.
"Taklimat yang saya sampaikan sepatutnya sulit kerana ia berkaitan dengan isu keselamatan negara.
"Namun terdapat pihak membocorkan maklumat berkenaan dan bertindak cuba merosakkan imej saya dengan mengatakan saya telah meletakkan beberapa individu sebagai militan.
"Sedangkan dalam taklimat itu saya tidak menamakan individu terbabit sebagai militan sebaliknya hanya menerangkan penulisan beberapa pihak yang dilihat begitu ekstrem dan mampu mewujudkan militan agama di sini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pembentangan berkenaan, Zamihan dikatakan telah menamakan individu tertentu sebagai militan agama dan bersangkutan dengan Jemaah Islamiah (JI).
Jurucakap Balai Polis Bandar Baru Bangi ketika dihubungi hari ini mengesahkan telah menerima laporan berkenaan.

No comments:

Post a Comment