Saturday, June 26, 2010

Khalid nafi wujud komplot 15 Ahli Parlimen


KUALA SELANGOR 25 Jun - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) menafikan wujudnya gerakan dalam parti itu bagi menyingkirkannya daripada jawatan Menteri Besar.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan laporan mengenai perkara itu termasuk pakatan 15 Ahli Parlimen PKR yang didakwa mendesaknya berundur daripada jawatan yang disandangnya sejak Mac 2008 itu sebagai spekulasi semata-mata.
"Tidak ada, saya tidak terima apa-apa daripada mereka (kumpulan Ahli Parlimen PKR terbabit). Ia boleh jadi spekulasi sahaja.
"Kalau ada (memorandum atau dokumen bertulis daripada kumpulan berkenaan) saya akan terima dan akan baca," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Tanah Pertanian kepada 45 penduduk Kampung Sungai Yu di sini, hari ini.
Abdul Khalid diminta mengulas mengenai dakwaan wujudnya komplot 15 orang Ahli Parlimen PKR untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan Menteri Besar.
Malah, pakatan 15 Ahli Parlimen PKR itu dikatakan wujud ekoran rasa tidak puas hati dengan tindakan Abdul Khalid yang melantik Faekah Husin untuk mengisi jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar bagi menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad secara terus tanpa berbincang dengan Biro Politik PKR.
Malah pakatan itu juga dikatakan wujud serentak dengan keputusan Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tengah hari semalam dipercayai ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan Abdul Khalid itu.
Malah, Biro Politik PKR dikatakan telah mencadangkan nama individu lain untuk mengisi jawatan berkenaan tetapi ditolak oleh Abdul Khalid dan meletakkan Faekah yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan tersebut.
Dalam pada itu, ditanya sama ada komplot 15 Ahli Parlimen PKR itu mempunyai kaitan dengan pemilihan kepimpinan parti akhir tahun ini, Abdul Khalid berkata, beliau tidak tahu mengenainya.
''Saya tak tahu yang itu,'' katanya yang enggan mengulas lanjut.

No comments:

Post a Comment