Tuesday, July 27, 2010

Harussani pencacai UMNO - Mahfuz


KUALA LUMPUR 26 Julai - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai pencacai UMNO kerana berbohong mengenai perjumpaannya bersama Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali yang didakwa menyentuh soal kerjasama UMNO dan parti itu.
Mahfuz menjelaskan, Hassan telah mengakui yang beliau pernah berjumpa dengan Harussani tetapi perjumpaan itu hanya melibatkan perbincangan mengenai Islam dan tidak menyentuh soal kerjasama UMNO dan Pas.
"Hassan sendiri menyatakan bahawa beliau tidak pernah diberi mandat oleh Pas untuk berbincang dengan Harussani mengenai isu kerjasama Pas dan UMNO.
"Ini menunjukkan Harussani berbohong dan mendedahkan peranannya sebagai alat dan pencacai UMNO," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Sabtu lalu, Hassan mengesahkan dirinya pernah menemui Harussani kira-kira dua bulan lalu tetapi menafikan perjumpaan itu menyentuh mengenai kerjasama UMNO dan Pas sebaliknya persiapan bagi menghadiri Mesyuarat Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Sebelum itu, Harussani menyatakan ada di kalangan pemimpin Pas menemuinya bagi mendapatkan pandangan untuk merealisasikan usaha menyatukan orang Melayu dan mengukuhkan ikatan Islam antara UMNO dan Pas.
Tambah Mahfuz, Mufti Perak itu sepatutnya meletakkan jawatannya kerana berbohong mengenai perkara tersebut.
"Pembohongan ini sangat memalukan para ulama sedangkan beliau sendiri pernah menyatakan seorang Mufti tidak akan berbohong," jelasnya.
Beliau turut menuntut supaya Harussani memohon maaf secara terbuka kepada Pas dan seluruh orang Melayu Islam dan tidak membiarkan diri terus menjadi pencacai kepada UMNO.
HABIS

No comments:

Post a Comment