KUALA LUMPUR - Kontraktor baru untuk kerja pembersihan dan pengalihan struktur runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA), Kuala Terengganu akan dilantik dan diumumkan minggu hadapan.
Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Ir. Dr. Judin Abdul Karim berkata, sebanyak 48 syarikat telah memasuki tender dan beberapa kontraktor telah pun disenarai pendek.
"Keruntuhan struktur bumbung telah menjejaskan struktur stadium dan kestabilannya tidak dapat dipastikan.
"Oleh itu, kerja pengalihan hendaklah dilakukan dengan teliti bagi menjamin keselamatan struktur stadium dan pekerja dan ini memerlukan kontraktor yang benar-benar layak," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang melahirkah rasa kecewa kerana kerja-kerja membersihkan runtuhan stadium itu masih tertangguh walaupun tender kepada kontraktor telah lama dibuka.
Ahmad berkata, beliau tidak faham kenapa proses penilaian kontraktor mengambil masa terlalu lama dan berasa malu melihat keadaan bumbung stadium tersebut yang masih belum dibersihkan.
Judin menjelaskan, JKR Negeri Terengganu mendapat kebenaran Pegawai Kewangan Negeri pada 7 Mac 2010 untuk memanggil kontraktor dan iklan tawaran tender dikeluarkan pada 15 Mac sebelum ditutup pada 19 April 2010.
No comments:
Post a Comment