Saturday, July 31, 2010

Meringkuk 7 tahun dalam penjara sebelum didapati tak bersalah


Suami isteri bebas tuduhan bunuh





Mohd. Khoharuddin Ismail dan isteri pertamanya Siti Sabariah Ahamat (kiri) ditemani isteri keduanya, Che Sham Ishak (kanan) dan anak mereka Lokman Hakim gembira setelah dilepaskan dari tuduhan menyebabkan kematian di perkarangan Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam.



IPOH 30 Julai - Selama tujuh tahun, Mohd. Khoharuddin Ismail, 48, meringkuk dalam penjara selepas didakwa membunuh seorang lelaki yang dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan isteri pertamanya pada 2003.
Selama itulah, inspektor kesihatan di Pejabat Kesihatan Kulim, Kedah itu merindui kemeriahan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri bersama tiga isteri tersayang dan empat orang anaknya yang dinikmatinya selama ini.
Namun, Mohd. Khoharuddin yang dikenali sebagai seorang suami yang baik mendapat 'hadiah Ramadan' hari ini apabila Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan bahawa dia tidak bersalah dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan tersebut.
Lebih menggembirakannya apabila isteri pertamanya, Sabariah Ahamat, 44, yang dituduh melakukan pembunuhan itu bersamanya turut dibebaskan oleh mahkamah hari ini.
Sebagai tanda kesyukuran tidak terhingga, Mohd. Khoharuddin bercadang membawa ketiga-tiga isteri dan empat anaknya serta ahli keluarganya yang lain ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
''Sepanjang berada dalam penjara, saya tidak henti-henti berzikir dan berdoa kepada Allah supaya ditunjukkan kebenaran dan hari ini saya mendapat hadiah yang sangat bermakna kerana dapat menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tahun ini.
''Selepas itu, saya mahu bawa semua ahli keluarga saya pergi menunaikan haji di Mekah jika saya mendapat semua tunggakan gaji saya selama tujuh tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Isteri keduanya, Che Sham Ishak, 46, dan anak-anak serta ahli keluarga lain yang selama ini tidak putus-putus memberi sokongan kepada Mohd. Khoharuddin dan Siti Sabariah sepanjang perbicaraan kes itu juga dilihat menitis air mata kegembiraan sebaik keputusan diumumkan oleh mahkamah.
Cuma, isteri ketiganya, Anisah Sudin, 37, tidak dapat hadir untuk menyambut pembebasan suaminya kerana terpaksa bekerja.
Menurut Mohd. Khoharuddin, dia telah kehilangan banyak masa berharga bersama keluarga sepanjang ditahan di penjara sehingga tidak dapat melihat anak-anaknya membesar dan ada yang telah menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
''Kebebasan yang diberikan oleh Allah ini akan saya gunakan dengan sebaik-baiknya untuk menebus semula masa tujuh tahun yang hilang.
''Saya juga mahu kembali meneruskan kehidupan seperti sedia kala dengan kembali bekerja di Pejabat Kesihatan Kulim di Kedah," katanya yang tenang dan sentiasa tersenyum melayan pertanyaan pihak media.
Sementara itu, Sabariah pula gembira kerana dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga termasuk tiga anaknya pada tahun ini selepas tujuh menyambut lebaran di dalam penjara.
''Sudah tujuh tahun lima bulan saya duduk dalam penjara. Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan tidak tahu hendak cakap apa lagi," katanya ringkas.
Mohd. Khoharuddin dan Siti Sabariah dibebaskan di akhir kes pendakwaan selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Dr. Hassan Ab. Rahman mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hassan berkata, bahan-bahan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak mencukupi untuk menyatakan mereka berdua membunuh Mohd. Yusof Ismail, 32.
''Setelah meneliti keterangan serta menimbang hujah bertulis kedua-dua pihak, mahkamah mendapati keterangan mengikut keadaan iaitu bahan bukti P74 (keterangan saksi) yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak memuaskan mahkamah untuk mencapai kesimpulan bahawa mereka berdua membunuh mangsa dan dan dipanggil membela diri.
''Dengan ini, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,'' kata beliau sambil disambut dengan gembira oleh kedua-dua tertuduh dan ahli keluarga mereka yang memenuhi galeri awam.
Mohd. Khoharuddin yang bekerja sebagai Inspektor Kesihatan di Pejabat Kesihatan Kulim dan Siti Sabariah, setiausaha di sebuah syarikat perumahan di Sungai Petani dituduh membunuh Mohd. Yusof di Kilometer 20, Jalan Lepang Nenering, Kampung Lalang, Gerik, di sini kira-kira pukul 4 pagi, 1 Februari 2003.
Suami-isteri itu yang diwakili peguam bela, Naran Singh dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mereka berdua pertama kali didakwa pada 16 Februari 2003 di Mahkamah Majistret Gerik sebelum kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Taiping dan kemudian ke Mahkamah Tinggi Ipoh selepas Hassan ditugaskan ke sini.
Sebanyak 20 saksi termasuk anggota polis, orang awam dan doktor telah dipanggil memberi keterangan sepanjang kes di peringkat pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jean Sharmila Jesudason.

No comments:

Post a Comment