Saturday, September 25, 2010

Tiga punca Melayu hilang kuasa

Tiga punca Melayu hilang kuasa


KUALA LUMPUR - Ingatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara sekiranya pembangkang berjaya memerintah negara adalah benar berasaskan fakta politik, rekod pemerintahan dan Perlembagaan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, politik ialah bilangan iaitu siapa yang mempunyai majoriti akan diharap menerajui pimpinan dan kerajaan, manakala realiti yang tidak boleh dinafikan ialah sesebuah negara itu diperintah mengikut rekod dan tuntutan Perlembagaan.

“Apa yang dizahirkan oleh Tun Dr Mahathir bahawa sekiranya pihak pembangkang yang berselera tajam sekarang memerintah orang Melayu, akan hilang kuasa adalah satu kebenaran.

“Kenyataan itu saya nilaikan sebagai satu ingatan yang sangat tajam dan setiap orang yang bernama orang Melayu harus berfikir dan sekiranya tidak (berfikir) janganlah nanti disalahkan orang lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir itu pada sidang media, selepas menjadi tetamu bicara khas penghayatan Rukun Negara bersama Radio Klasik Nasional di Wisma Angkasapuri di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya.

Dalam wawancara khas yang dipetik daripada laman web :www.umno-online.com: Dr Mahathir juga dilaporkan berkata, jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini bukan ‘dikhaskan’ buat orang Melayu atau beragama Islam sahaja sebaliknya ia tertakluk kepada sokongan rakyat ke atas seseorang pemimpin.

Katanya, undang-undang dan Perlembagaan juga tidak mampu menghalang orang Cina atau India untuk menjadi Perdana Menteri, sekiranya mempunyai sokongan.

Rais berkata, atas faktor itu beli au sependapat dengan Dr Mahathir bahawa sebagai penduduk majoriti di negara ini orang Melayu harus beranggapan bahawa kuasa itu tidak seharusnya hilang daripada tangan mereka.

“Jadi, kalau anggapan itu sudah tidak lagi dipakai, maka orang Melayu sendiri akan menerima padahnya dan mereka harus menerima di masa akan datang, mungkin jawatan Perdana Menteri bukan lagi milik orang Melayu.

“Mungkin apa yang dirasai oleh Raja-Raja Melayu dan diterima oleh orang-orang Melayu juga tidak lagi berada di tahap yang ada sekarang,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment