Friday, September 24, 2010

Buku baru Zunar sindir k'jaan takutkan kartun

Tindakan kerajaan mengharamkan buku kartunnya rupa-rupanya tidak mematahkan semangat, sebaliknya memberikannya idea baru kepada kartunis Zunar untuk menghasilkan karya yang lebih pedas, tajam dan padat dengan sindiran politik.

Ekoran pengharaman 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque kali ini menerbitkan pula Cartoon-o-phobia (ketakutan pada kartun) - tindakan yang terus menyindir kerajaan.

NONE"Ketika diharamkan pada Jun lalu, alasan yang diberi kerajaan ialah kerana buku-buku dan majalah saya itu dianggap mengancam ketenteraman awam dan boleh mempengaruhi orang ramai supaya merusuh terhadap kerajaan.

"Kerana itu, nama Cartoon-o-phobia dipilih bagi menggambarkan ketakutan sesetengah pihak kepada karya-karya kartun," kata Zunar (kanan).

Menurut Zunar juga buku tersebut akan diterbitkan oleh Kinibooks - sebuah anak syarikat Malaysiakini. Sebelum ini, beliau juga berkerjasama dengan penerbit yang sama untuk buku 1 Funny Malaysia tahun lalu dan Cartoon On Tun and Others...pada 2005.

Kebanyakan karya-karya kartun dalamCartoon-o-phobia adalah koleksi pilihan kartun-kartun yang tersiar dalamMalaysiakini dari Disember 2009 hingga September 2010.

Dalam satu kenyataan hari ini, Zunar juga secara sinis berkata akan cuba mendaftar istilah Cartoon-o-phobia dalam kamus sebagai satu istilah baru yang menggambarkan defininasi "individu atau pihak yang takut kepada karya kartun sehingga menggunakan pengaruh politik bagi mengambil tindakan terhadap kartunis."

"Saya menyentuh semua isu-isu yang menjadi perbualan awam seperti isu Altantuya, konspirasi terhadap Anwar, isteri PM, kehilangan jet enjin, Scorpene yang tak boleh menyelam, Sarawak, perkauman, korupsi dan lain-lain," katanya.

Menyentuh soal kemungkinan bukunya diharamkan lagi, bekaS kartunis di majalah popular Gila-Gila itu bagaimanapun berkata tidak pernah terfikir soal tersebut semasa berkarya.

"Saya percaya Cartoon-o-phobia mempunyai kekuatan sendiri dan memenuhi kehendak pembaca. Namun saya bersedia menghadapi sebarang risiko jika buku ini diharamkan.

"Jika buku ini tidak dapat dijual di pasaran terbuka (akibat pengharaman), saya bergantung kepada sokongan dari para pembaca," katanya.

Buku setebal 100 muka surat berwarna penuh itu akan dilancarkan pada 24 September ini bertempat di Selangor Chinese Assembly Hall oleh bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Ia dijual dengan harga pasaran RM25 senaskhah secara dalam talian buat masa ini.
malaysiakini

No comments:

Post a Comment