SINGAPURA
MHA sampaikan penghargaan mendalam kepada pihak KL; ketua JI setempat ditahan di bawah ISA
SETELAH melarikan diri daripada tahanan Singapura lebih dua setengah tahun lalu sebelum ditangkap di Malaysia beberapa bulan kemudian, Mas Selamat Kastari diserahkan kembali oleh pihak berkuasa Malaysia kepada Singapura semalam.
Ketua Jemaah Islamiyah (JI) Singapura itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura dan kini disiasat, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) semalam.MHA menyampaikan penghargaan mendalam kepada pihak Malaysia, Cawangan Khas dan Pasukan Bertindak Khas negara itu di atas penangkapan dan penyerahan kembali Mas Selamat kepada Singapura.'Operasi ini memaparkan kerjasama rapat yang lama wujud antara agensi keselamatan Malaysia dan Singapura, yang bermanfaat bagi kededua negara,' ujar MHA dalam satu kenyataan ringkas tanpa memberi butir-butir lanjut.Mas Selamat, 49 tahun, melarikan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road pada 27 Februari 2008, yang mencetuskan satu usaha pencarian besar-besaran dan diikuti dengan siasatan mengenai bagaimana perkara itu boleh berlaku.Ekoran kerjasama rapat antara agensi keselamatan Malaysia dan Singapura, Cawangan Khas Malaysia menangkap Mas Selamat di Johor pada 1 April tahun lalu dan ditahan di Malaysia sehingga diserahkan kepada Singapura semalam.Mas Selamat dianggap antara pengganas paling merbahaya di rantau ini dan dikatakan sedang merencana serangan ke atas Singapura apabia dia ditangkap semula di Malaysia.Selepas meloloskan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road pengganas itu dikatakan menyeberang ke Johor dengan berenang.Menyusuli penangkapan Mas Selamat di Malaysia, Menteri Ehwal Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menjelaskan bahawa kerajaannya tidak menyerahkan dia kepada Singapura kerana pemimpin JI itu turut membawa ancaman ke atas Malaysia dan negara-negara jiran, serta mengancam keselamatan orang ramai.Isu penangkapan semula Mas Selamat antara topik utama yang dibincang dalam pertemuan antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu.Dalam pertemuan terbaru dua pemimpin itu di sini minggu lalu bagi membincangkan isu dua hala, tidak dinyatakan apakah isu Mas Selamat ditimbulkan lagi.Selepas ditangkap di Malaysia, Mas Selamat dikatakan ditahan di sebuah kem tahanan di Kamunting, Perak.Dalam wawancara dengan Berita Harian awal tahun ini, Ketua Polis Negara (IGP) Malaysia ketika itu, Tan Sri Musa Hassan, mendedahkan bahawa sebaik saja melarikan diri dari Singapura, Mas Selamat merancang melakukan pengeboman di Singapura dan Malaysia.Menurut beliau, pemimpin JI itu hanya menanti 'orang-orangnya' datang ke Malaysia sebelum mengebom sasaran-sasaran tertentu di kedua-dua negara.Dalam kenyataan semalam, MHA turut berkata: 'MHA juga menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada warga Singapura atas sokongan dan bantuan mereka ketika usaha mencari Mas Selamat dijalankan.'
No comments:
Post a Comment