Saturday, October 9, 2010

Aidil bakal dedah kemelut dengan Rita





2010/10/09

MOHD Aidil Zafuan enggan memberi penjelasan mengenai rumah tangganya ketika ditemui di Paroi, Seremban, semalam.
MOHD Aidil Zafuan enggan memberi penjelasan mengenai rumah tangganya ketika ditemui di Paroi, Seremban, semalam.
SEREMBAN: Kemelut rumah tangga pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar, 34, semakin berantakan apabila suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, 23, mahu mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga mereka tidak lama lagi. 

Malah Berita Harian difahamkan, satu surat peguam sudah dihantar kepada Rita yang memaklumkan bahawa kemelut rumah tangga mereka akan diselesaikan mengikut undang-undang syariah pada hujung Oktober ini. Bagaimanapun, Aidil Zafuan enggan mengulas mengenai desas-desus itu.“Sekarang biarlah dia nak keluarkan kenyataan apa pun, itu hak dia. Saya akan dedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga kami tidak lama lagi,” kata Aidil yang juga pemain bola sepak kebangsaan.
Ketika ditemui selepas menjalani latihan bersama pasukan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi dekat sini, petang semalam, Aidil Zafuan berkata, jadual hariannya sangat ketat dan masih belum sempat berbincang dengan keluarganya mengenai masalah itu. 

Katanya, masalah itu muncul dalam media massa secara mengejut menyebabkan dia perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana mahu menjaga hati banyak pihak, termasuk Rita Rudaini dan keluarganya supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk. 

“Apa yang berlaku terlalu peribadi. Dia dan keluarganya tahu, keluarga saya pun tahu. Apa pun dia isteri saya dan saya tidak mahu cerita buruk yang akan mengaibkannya,” katanya lagi. 

Berita Harian sebelum ini menyiarkan kenyataan Rita Rudaini yang mendakwa rumah tangganya bersama Aidil Zafuan yang dibina atas dasar cinta, mulai goyah disebabkan campur tangan individu tertentu, terutama keluarga mentuanya. 
Pasangan itu mencetuskan kontroversi apabila bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand, pada 25 Februari 2008 kerana dikatakan tidak mendapat restu keluarga suaminya. 

Hasil perkahwinan lebih dua tahun itu, Aidil Zafuan dan Rita Rudaini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizkin yang kini berusia setahun tiga bulan. 

Sementara itu, bapa Aidil, Abd Radzak Salleh, 61, berkata pihaknya tidak tahu mengenai dakwaan surat peguam itu kerana sehingga semalam dia masih belum bertemu anaknya untuk berbincang. 

“Sejak pulang dari Vietnam minggu lalu, kami belum bertemu Aidil Zafuan atau mengadakan perbincangan mengenai rumah tangga mereka kerana dia sibuk dengan tugasan sebagai pemain kebangsaan dan Negeri Sembilan. 

“Malah selepas latihan atau perlawanan bola sepak, dia tidak balik ke Seremban sebaliknya ke rumahnya di Kuala Lumpur. Jadi, bagaimana timbulnya isu bahawa kami nak menyaman Rita. Saya tidak tahu, walaupun kami sedar banyak kenyataan pelakon itu yang boleh dipersoalkan,” katanya. 

Abd Razak berkata, keluarganya tidak mahu mengeluarkan kenyataan terburu-buru sebelum mendapat penjelasan daripada anaknya dan akan mengadakan perbincangan bersama ahli keluarga lain bagi mengelak kenyataan tidak benar dan memalukan keluarga. 

“Kami dah jelaskan biarlah dia (Rita) yang buat kenyataan atau apa juga yang dia nak cakap. Kami perlu ambil masa dan berbincang dengan Aidil Zafuan serta ahli keluarga lain,” tegasnya. 

Difahamkan, Aidil pulang ke rumahnya di Sikamat di sini, malam tadi untuk bertemu keluarganya. 

No comments:

Post a Comment