Monday, October 18, 2010

Borang pencalonan kerusi Batu Sapi mula dijual




2010/10/18

KOTA KINABALU: Borang pencalonan untuk pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi mula dijual hari ini, kata Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Datuk Mohd Idrus Ismail. 

Beliau berkata, setakat ini seorang individu telah membeli dua keping borang tersebut yang berharga RM20 sekeping."Dia datang sebagai bebas dan bukan dari mana-mana parti," katanya kepada pemberita di sini selepas menyerahkan writ pilihan raya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Batu Sapi, Mohamad Hamsan Awang Supain.Mengulas isu berkaitan, Mohd Idrus berkata jumlah pengundi berdaftar yang digazetkan bagi kawasan Parlimen tersebut sehingga 9 Oktober lalu ialah 25,582 orang iaitu 24,047 pemilih biasa dan 1,535 pengundi pos. 

Beliau berkata, jumlah pengundi itu adalah berkurangan jika dibanding pada pilihan raya umum lalu iaitu 26,004 orang disebabkan faktor seperti kematian selain ada yang menukar kewarganegaraan. 

"Kali ini juga ada sedikit pengubahsuaian iaitu (kategori pengundi) adalah berdasarkan Bumiputera Islam (BI), Bumiputera Bukan Islam (BBI), Cina dan lain-lain. 

"Untuk Bumiputera Islam, jumlahnya adalah 15,099 orang mewakili 59.02 peratus, BBI seramai 689 orang (2.69 peratus), Cina seramai 9,737 orang (38.06 peratus), dan lain-lain seramai 57 orang (0.22 peratus)," katanya. 
Mohd Idrus berkata, Dewan Masyarakat Sandakan akan dijadikan pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi. 

Sebanyak 12 pusat mengundi iaitu enam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong dan enam lagi di DUN Karamunting dibuka, dan sebuah bot akan disediakan untuk kegunaan petugas ke satu pusat mengundi yang terletak di sebuah pulau, iaitu Pulau Timbang. 

"Ia mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan dengan bot dari bandar Sandakan. Pusat mengundi paling jauh ialah Sekolah Kebangsaan Segaliud yang mengambil masa perjalanan hampir sejam dari pusat bandar," katanya. 

Beliau juga meminta pengundi membuat semakan daftar pemilih sama ada datang sendiri ke pejabat SPR ataupun menerusi talian 088-484766/550 yang dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari. 

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong selepas penyandangnya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Edmund Chong Ket Wah terbunuh dalam satu nahas jalan raya pada 9 Oktober lalu. 

SPR menetapkan penamaan calon pada 26 Oktober ini manakala pengundian pada 4 November. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment